Sebahagian 50 penerima daripada keluarga B40 yang menerima sumbangan daripada Yayasan PETRONAS sempena Program Memacu Kehidupan Sentuhan Kasih Deepavali di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Sebahagian 50 penerima daripada keluarga B40 yang menerima sumbangan daripada Yayasan PETRONAS sempena Program Memacu Kehidupan Sentuhan Kasih Deepavali di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Yayasan Petronas menyampaikan sumbangan kepada 100 keluarga B40 di negeri ini sempena Program Memacu Kehidupan Sentuhan Kasih Deepavali.

Sumbangan itu membabitkan 50 keluarga di daerah Kuantan, manakala masing-masing 25 keluarga pula dari Pekan dan Bentong.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, M Ahmad Shazly Ramli berkata, setiap keluarga menerima barangan makanan asas seperti beras, minyak masak, gula, garam, tepung, sardin, teh, minuman berasaskan coklat dan malt serta kekacang.

Menurutnya, mereka juga menerima makanan bertema Deepavali iaitu beras, serbuk briyani masala, tepung campuran kesari, minyak sapi dan serbuk kari.

"Sumbangan ini komitmen berterusan Petronas untuk membantu membangkitkan perasaan kasih sayang dan kegembiraan kepada golongan kurang berkemampuan sempena musim perayaan.

"Petronas memahami kesukaran yang dihadapi oleh keluarga berpendapatan rendah berikutan kenaikan harga barangan sekarang.

"Justeru, kami berharap sumbangan ini sedikit-sebanyak mampu meringankan beban yang mereka hadapi terutama pada musim perayaan ini," katanya.

Sumbangan berkenaan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga negeri Datuk Sabariah Saidan, di sini, malam semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Siti Nor Hasma Mat Isa.

Sementara itu, Sabariah berkata, kerajaan negeri berbesar hati dengan sumbangan yang disampaikan Yayasan Petronas bagi menceriakan perayaan Deepavali di kalangan keluarga B40 di Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 12:06 PM