Essa Abu Yamin

Kuala Lumpur: Punca sebuah helikopter terhempas di Brinchang, Cameron Highlands pada tahun lalu adalah disebabkan daripada kelemahan juruterbang membuat keputusan, menurut laporan akhir Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).

Menurut laporan akhir yang dipaparkan di laman sesawang biro berkenaan, pengendali pesawat sudah diarahkan untuk menyediakan program latihan berulang kepada juruterbang berkaitan penerbangan di kawasan gunung dan dalam keadaan cuaca buruk secepat mungkin.

"Keupayaan penilaian risiko oleh juruterbang dan pertimbangannya perlu dipertingkatkan supaya juruterbang tidak mengambil risiko yang tidak perlu," katanya.

Terdahulu, helikopter Airbus AS 355 F2 milik syarikat swasta, membawa seorang doktor, dua jururawat dan dua pembantu perubatan dalam misi perubatan dari Tanjung Rambutan, Perak, terhempas berhampiran Brinchang.

Berdasarkan laporan akhir berkenaan, siasatan mendapati pesawat terbabit berfungsi dengan sempurna pada hari kejadian dan bahagian yang rosak tidak menjadi punca kepada nahas berkenaan.

"Helikopter berkenaan terhempas di bahagian cerun, namun terhalang daripada terus jatuh ke kaki bukit oleh kanopi pokok. Tiga penumpang yang duduk di bahagian belakang kabin tercampak keluar ketika kejadian berkenaan.

HELIKOPTER jenis Airbus AS 355 F2 dengan nombor pendaftaran 9M-SSW yang terhempas di Kompartment 213, Hutan Simpan Bukit Kinta dalam daerah Kinta, Perak yang hanya berjarak kira-kira 400 meter daripada sempadan Pahang akibat cuaca buruk. FOTO Arkib NSTP
HELIKOPTER jenis Airbus AS 355 F2 dengan nombor pendaftaran 9M-SSW yang terhempas di Kompartment 213, Hutan Simpan Bukit Kinta dalam daerah Kinta, Perak yang hanya berjarak kira-kira 400 meter daripada sempadan Pahang akibat cuaca buruk. FOTO Arkib NSTP

"Keenam-enam mangsa yang menaiki helikopter terbabit terselamat, bagaimanapun empat daripadanya mengalami cedera ringan seperti luka, lebam, terseliuh dan tulang retak," katanya.

Mengulas lanjut, biro berkenaan turut menekankan kepentingan pengetahuan dan pengalaman juruterbang dalam mentafsirkan keadaan alam sekitar apabila beroperasi di kawasan pergunungan, terutamanya ketika cuaca buruk.

"Membuat keputusan yang tepat berdasarkan penilaian risiko yang betul dan pertimbangan yang baik diperlukan dalam persekitaran berkenaan.

"Satu prinsip utama adalah sentiasa peka dengan situasi semasa. Jika ragu-ragu, mendarat dan tunggu cuaca buruk reda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 11:05 AM