MOHD Yusri pada sidang media nahas helikopter di Cameron Highlands malam ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
MOHD Yusri pada sidang media nahas helikopter di Cameron Highlands malam ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Cameron Highlands: Insiden nahas helikopter di Brinchang dekat Tanah Rata, di sini dikatakan berlaku dalam cuaca buruk.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata pihaknya difahamkan sewaktu kejadian, keadaan cuaca buruk kerana hujan dengan keadaan berkabus, selain faktor tiupan angin.

Beliau berkata, insiden berlaku di Kompartment 213, Hutan Simpan Bukit Kinta dalam daerah Kinta, Perak yang hanya berjarak kira-kira 400 meter daripada sempadan negeri Pahang.

Katanya, helikopter jenis Airbus AS 355 F2 bernombor pendaftaran 9M-SSW itu memang mengikuti laluan kebiasaan.

"(Helikopter itu) memang mengikuti laluannya, namun (tidak menolak) mungkin mereka (pengemudi helikopter) sudah dapatkan 'clearance' (pencerahan) dari pengawal (trafik) udara untuk menggunakan laluan melintasi Cameron Highlands.

"Bukan disebabkan hujan atau apa sehingga helikopter itu menghala ke sini (Cameron Highlands). Sebab sampai di sini keadaan cuaca pun memang tidak baik... Masa kejadian cuaca memang teruk sekali, berkabus, hujan, dan angin," katanya dalam sidang media rasmi selepas operasi Carilamat (SAR) insiden itu selesai, di Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Tanah Rata, di sini, malam ini.

Hadir sama Pegawai Daerah Cameron Highlands, Syed Ahmad Khairulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman.

Katanya lagi, operasi SAR dimulakan sebaik Pusat Kawalan Daerah (DCC) menerima panggilan jam 1.20 petang yang difahamkan menerima maklumat kejadian daripada salah seorang dari enam mangsa nahas itu.

Katanya, mangsa pertama berjaya dibawa keluar ke PKTK adalah juruterbang helikopter itu, Kapten Fedzrol Norazam, 43, yang mengalami kecederaan pendarahan dalaman pada jam 5.35 petang dengan mangsa terakhir dikenali sebagai Hashilawati, 48, kira-kira jam 8.40 malam tadi.

Tinjauan mendapati Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) insiden terbabit didirikan dalam kawasan kebun sayur di kawasan berbukit dengan keadaan cuaca hujan renyai berpanjangan sehingga waktu operasi SAR ditamatkan.

Beliau berkata, operasi SAR ditamatkan jam 9 malam tadi dengan kesemua enam mangsa berkenaan terdiri dari seorang juruterbang dan lima pegawai perubatan daripada Pasukan Doktor Udara (PDU) Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta, Tanjung Rambutan, Ipoh dihantar ke Hospital Hajjah Kalsom, Tanah Rata, di sini untuk menerima rawatan.

Selain juruterbang berkenaan dan Hashilawati, mangsa lain ialah Dr Munirah, 35, Norasyikin, 38, Muhamad Azlan, 31, dan Zainurol Fazlan, 40.

Mohd Yusri berkata, operasi SAR membabitkan seramai 127 keseluruhan kekuatan anggota meliputi pelbagai agensi iaitu polis, bomba, Jabatan Perhutanan, Komando 69 Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan lain-lain.

Beliau berkata, keterangan dan soal siasat mengenai punca sebenar kejadian akan diperoleh melalui temubual dengan juruterbang selepas mendapat rawatan secukupnya dan ia akan dilaksanakan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Katanya, ia termasuk kerja mengalih dan mengeluarkan bangkai pesawat oleh CAAM selepas siasatan selesai.

Mohd Yusri berkata, siasatan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2022 @ 11:58 PM