JAWAHAR Ali (dua dari kanan) menjadi panelis dalam SCOL 2023 semalam. FOTO Facebook.
JAWAHAR Ali (dua dari kanan) menjadi panelis dalam SCOL 2023 semalam. FOTO Facebook.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Rangkaian Restoran Ali Maju Sdn Bhd akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama di negeri-negeri untuk melaksanakan Majlis Akad Nikah Rahmah dalam waktu terdekat bagi membantu pasangan pengantin mengadakan majlis perkahwinan.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Restoran Ali Maju Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, buat permulaan, pihaknya merancang untuk menzahirkan hasrat berkenaan kepada 20 pasangan pengantin di Wilayah Persekutuan.

Katanya untuk itu, pihaknya akan bekerjasama dengan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan lokasi dicadangkan ialah Masjid Wilayah di Jalan Tuanku Abdul Halim di ibu negara.

"Hikmah daripada Menu Rahmah yang diasaskan Allahyarham Datuk Seri Salahudin Ayub dulu, saya akan buat Majlis Akad Nikah Rahmah dalam masa terdekat.

"Peringkat awal ini, kita akan himpunkan 10 atau 20 pasangan, makanan kita taja pasangan ini dalam majlis mereka. Saya pun sudah maklumkan kepada Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail mengenai perkara ini.

"Kadang-kadang ada pasangan bercinta bertahun-tahun, saya terpanggil dan saya akan zahirkan. Kalau Allahyarham masih ada, saya rasa beliau akan sokong. Kita tengoklah macam mana maklum balas Jabatan Agama Islam di negeri-negeri selepas ini," katanya.

Beliau menjadi panel di dalam Simposium Kos Sara Hidup (SCOL 2023) anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) semalam.

Antara panel lain termasuklah pelakon Datin Zarina Zainuddin dan chef selebriti, Datuk Zamzani Abdul Wahab.

Ditanya mengenai pengalamannya ketika mengendalikan Menu Rahmah, beliau berkata, pihaknya bersyukur kerana dapat bersama-sama mencari keberkatan di dalam perniagaan.

"Kita tak minta subsidi pun, sebaliknya kita juga mencari berkat dalam berniaga. Kalau menu biasa kita bagi ikan tenggiri, Menu Rahmah ikan tongkol, ia bukan begitu.

"Menu ini dapat sambutan cukup baik terutama kawasan yang didiami penuntut institusi pengajian tinggi, kita dapat membantu mereka yang memerlukan.

"Ia bukan penyelesaian jangka masa panjang, tapi kita dapat membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Majlis Akad Nikah Rahmah akan dibuat dalam masa terdekat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 7:28 PM