PENDUDUK di kawasan perumahan Taman Seri Nilam, Limbat terpaksa mengharungi air banjir termenung sejak dua minggu lalu. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
PENDUDUK di kawasan perumahan Taman Seri Nilam, Limbat terpaksa mengharungi air banjir termenung sejak dua minggu lalu. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Lebih 600 penduduk di kawasan perumahan Taman Seri Nilam, Limbat, di sini, terpaksa mengharungi air banjir sedalam 0.4 meter susulan fenomena 'banjir termenung' sejak dua minggu lalu.

Tinjauan di sekitar kawasan perumahan berkenaan mendapati banjir termenung menyebabkan urusan harian penduduk terganggu malah mereka juga terpaksa meletakkan kereta di tempat lebih tinggi.

Salah seorang penduduk, Norida Wan Khaldin, 47, berkata, hujan lebat sejak lebih seminggu lalu menyebabkan kawasan perumahan berkenaan digenangi air dan sehingga kini masih belum surut sepenuhnya.

"Beberapa hari lalu, bahagian dapur, tandas dan tempat saya menjahit ditenggelami banjir sedalam 0.2 meter. Setiap malam saya perlu bergilir-gilir memerhatikan keadaan rumah berikutan bimbang paras banjir terus meningkat.

"Lebih menyedihkan lagi, saya juga hilang pendapatan susulan ruangan menjahit di perkarangan rumah digenangi air. Semua peralatan menjahit termasuk mesin jahit terpaksa diletakkan di tempat tinggi," katanya yang sudah 15 tahun tinggal di perumahan berkenaan.

Manakala, Norhisham Mohamed, 48, berkata, masalah banjir termenung di kawasan perumahan itu menjadi lebih serius sejak dua tahun lalu.

"Masalah utama banjir termenung di sini adalah disebabkan sistem perparitan serta longkang kecil yang tidak dapat menampung limpahan air, terutamanya ketika hujan lebat berterusan selama sehari.

"Malah apabila hujan lebat ia menyebabkan air masuk sehingga ke bahagian dalam rumah. Saya sudah beberapa kali mengalami kerugian akibat kabinet dapur rosak.

"Ia mengambil masa selama seminggu atau lebih sebelum banjir termenung ini surut sepenuhnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 3:02 PM