ANTARA rumah penduduk yang masih digenangi air banjir termenung di Kampung Bahru, Sri Gading. FOTO Essa Abu Yamin
ANTARA rumah penduduk yang masih digenangi air banjir termenung di Kampung Bahru, Sri Gading. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Penduduk Kampung Bahru, Sri Gading di sini, sudah lali dengan banjir termenung yang melanda hampir dua kali setahun.

Setiap kali ditimpa musibah itu, penduduk bukan sahaja menanggung kerugian apabila banyak kelengkapan rumah dan harta benda rosak, malah terpaksa berkorban masa dan keringat membersihkan rumah.

Seorang penduduk, Nor Ikhwan Nasir, 46, berkata banjir yang melanda beberapa hari lalu adalah paling buruk kerana air daripada parit di hadapan rumah melimpah dan memasuki rumahnya begitu cepat.

"Hujan lebat tanpa henti selama empat jam berlaku kira-kira jam 3 pagi Khamis lalu sebelum air mula masuk ke dalam rumah pada jam 6 pagi.

"Kami sekeluarga sempat menyelamatkan perabot dan barangan elektrik di tempat yang tinggi sebelum air dalam rumah naik sehingga 0.5 meter," katanya ketika ditemui di rumah nya di Kampung Bahru Sri Gading dekat sini, hari ini.

Nor Ikhwan berkata, dia yang sudah hampir 20 tahun tinggal di kampung berkenaan sudah lali dengan banjir dan lebih memburukkan keadaan apabila terpaksa tunggu beberapa hari untuk air surut.

"Hari ini sudah masuk hari ke empat tetapi air masih lagi tidak surut serta bertakung setinggi 0.3 meter.

"Paling lama banjir termenung di kampung ini hampir seminggu dan apabila surut kami perlu membersihkan kediaman yang penuh dengan lumpur dan sampah sarap," katanya.

Seorang lagi mangsa banjir, Mohd Azam Isnin, 46, berkata banjir termenung kali ini kerana sistem perparitan yang sudah lama tidak diselenggara.

"Kampung ini berada di kawasan agak rendah dan salah satu punca utama air banjir bertakung adalah kerana pembangunan penempatan baru yang dilakukan di sekitar kawasan kampung.

"Kawasan pembangunan berkenaan berada di tempat yang tinggi dan apabila hujan, air terus melimpah ke kawasan kampung yang lebih rendah," katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Batu Pahat, Kapten Mohd Faezie Abdul Aziz berkata, satu pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Aman Sri Gading.

"Seramai 63 mangsa banjir membabitkan 25 keluarga ditempatkan di PPS berkenaan.

"Antara kawasan terjejas yang masih digenangi air banjir ialah Lorong 1, Lorong 2, Lorong 3, Lorong 7 dan Batu 9 di kampung berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 2:24 PM