Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: Buruh sawit dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menumbuk ibunya.

Majistret T Ashvinii menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Chai Chon Tak, 29, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas ibu kandungnya, Hew Yoke Cheng, 50, di rumah di sini, Isnin lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Hukuman itu dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda panjang dari tempoh maksimum pemenjaraan untuk kesalahan mengikut seksyen yang berkaitan, jika sabit kesalahan.

TERTUDUH (dua kanan) di Mahkamah Majistret Teluk Intan. FOTO Muhamad Lokman Khairi
TERTUDUH (dua kanan) di Mahkamah Majistret Teluk Intan. FOTO Muhamad Lokman Khairi

Berdasarkan fakta kes, lelaki itu didapati menumbuk lengan kiri ibu kerana tidak memberikan RM10 untuk tujuan membeli dadah.

Mangsa membuat laporan polis kerana kejadian itu sering kali berlaku serta takut terjadi perkara yang tidak baik terhadapnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Izzudin Fakri Hamdan manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), F Faustina.

Mahkamah menetapkan tertuduh dihukum penjara satu tahun daripada tarikh dia ditangkap, 27 November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 12:34 PM