Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: Seramai 38 warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas dua pertuduhan kerana memasuki negara ini tanpa dokumen sah dan tinggal lebih masa.

Mereka yang terdiri daripada 29 lelaki dan sembilan wanita berusia antara 21 hingga 47 tahun, membuat pengakuan itu selepas dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret T Ashvinii.

Berdasarkan pertuduhan, 10 lelaki dan tiga wanita warga negara asing itu didakwa tinggal di Malaysia tanpa mempunyai apa-apa dokumen yang sah untuk masuk dan berada di negara ini.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu ketika ditahan di Pantai Sungai Tiang di sini jam 8.30 pagi pada 10 Ogos lalu mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, serta enam sebatan.

Sementara itu, 19 lelaki dan enam wanita warga asing lain didakwa berada di Malaysia dengan memiliki pasport yang sudah tamat tempoh lawatan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu ketika ditahan di tempat dan masa yang sama mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dihukum mengikut Seksyen 15(4) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Ernie Zakri
Ernie Zakri

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Izzudin Fakri Hamdan dan Azalea Sharmeen Zaizan, manakala kesemua warga asing tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 6(1)(c), semua 13 tertuduh dipenjara empat bulan dari tarikh tangkapan dengan tambahan 10 pesalah lelaki dikenakan satu sebatan.

Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(c) pula, mahkamah menetapkan semua 25 tertuduh dijatuhkan hukuman penjara empat bulan dari tarikh tangkapan.

Pada 10 Ogos lalu, polis menahan 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika mereka cuba mereka meninggalkan perairan negara di pesisir Pantai Sungai Tiang, Rungkup, di sini.

Difahamkan, dua lagi warga Indonesia akan dituduh di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada 29 Ogos depan mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Pindaan 2007) serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 3:07 PM