Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Empat majikan sindiket penipuan didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret Ayer Keroh hari ini atas tiga pertuduhan mendatangkan kecederaan, merompak serta memiliki bahan lucah pekerjanya bulan lalu.

Sejurus dibacakan pertuduhan pada prosiding berasingan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail dan Majistret Nurul Asyikin Rosli, semua tertuduh, Soh Sun Hung, 20; Yap Kah Seng, 22; dan dua remaja lelaki berusia 17 dan 15 tahun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.

Di hadapan Mohd Sabri, keempat-empat tertuduh sebagai majikan kepada remaja lelaki, 15, didakwa menganiaya mangsa dengan mencederakan menggunakan tangan, kaki, tali dan sebatang besi.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (KK), sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau dengan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 KK kerana merompak dan dengan sengaja mencederakan mangsa sama.

SOH Sun Hung (dua kiri) dan Yap Kah Seng (dua kanan) di Mahkamah Ayer Keroh. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
SOH Sun Hung (dua kiri) dan Yap Kah Seng (dua kanan) di Mahkamah Ayer Keroh. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Jika didapati bersalah semua tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan bolehlahjuga dikenakan denda atau sebat.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah di Taman Klebang Jaya, 28 Mei lalu antara 8 malam hingga 1 pagi.

Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nur Nadia Mohamed Iqbal melakukan pendakwaan manakala semua tertuduh diwakili peguam Joel Chua.

Tiada jaminan ditawarkan pihak pendakwaan, namun mahkamah membenarkan setiap tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin RM20,000 berserta seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan selepas drayu peguam.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret 1, semua tertuduh didakwa memiliki bahan lucah di dalam telefon bimbit di Taman Jati Hang Tuah Jaya, 3.45 petang, 31 Mei lalu.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman sehingga tiga tahun penjara atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 KK.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin mencadangkan jaminan RM10,000 untuk setiap tertuduh namun dirayu Joel Chua.

Nurul Asyikin kemudiannya menetapkan jaminan RM3,500 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 14 Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 3:54 PM