Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Dua pekerja buruh warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh tauke buah naga di Tanah Merah Site A, di sini, bulan lalu.

Tertuduh, Yan Mai, 19, dan Maung Piaw, 20, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret V Vanita.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang juga tidak dibenarkan diikat jamin.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa membunuh Low Seng Poh, 44.

Kesalahan itu dilakukan di dalam kebun buah naga di Tanah Merah Site A, Port Dickson, 12.15 tengah malam hingga 2 pagi, 18 Februari 2023 lalu.

Sehubungan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama yang boleh dihukum mati, jika sabit kesalahan.

Pihak Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur Malkith Singh.

Kes akan disebut semula pada 3 Mei depan untuk untuk serahan laporan kimia, forensik dan bedah siasat.

Sebelum itu, kedua-dua tertuduh dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berada di Malaysia tanpa pas masuk sah di hadapan Majistret yang sama.

YAN Mai (dua kiri) dan Maung Piaw (dua kanan) di Mahkamah Majistret Port Dickson. FOTO Azrul Edham
YAN Mai (dua kiri) dan Maung Piaw (dua kanan) di Mahkamah Majistret Port Dickson. FOTO Azrul Edham

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 6:01 PM