M Hifzuddin Ikhsan

Bukit Kayu Hitam: Kerajaan Thailand memberi jaminan pembinaan pelabuhan dan jambatan darat yang dirancang dibina bagi memintas laluan perkapalan di Selat Melaka akan turut membabitkan kerjasama Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Thailand menjelaskan pembinaan kemudahan baharu di kawasan selatan negara itu masih di peringkat awal, namun ia dijangka turut memanfaatkan Malaysia.

Jelasnya, setakat ini Malaysia masih belum memutuskan sama ada akan menyertai projek terbabit atau mendapatkan ekuiti dalam rancangan pembinaan pelabuhan dan jambatan darat yang dianggar bernilai berbilion ringgit.

"Jambatan darat itu masih di peringkat awal, dalam perbincangan tadi, Perdana Menteri Thailand sebut akan libatkan Malaysia dan ia akan turut beri manfaat kepada Malaysia terutama utara semenanjung.

"Bagi kita ada faedah dan manfaat kemudahan di situ, cuma secara terperinci sama ada kita akan menyertainya atau ada ekuiti masih terlalu awal," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Bukit Kayu Hitam di sini, hari ini.

Terdahulu Anwar hadir Lawatan Kerja Ke Sadao, Thailand serta mengadakan pertemuan dan perbincangan tertutup bersama Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin.

Sebelum ini, Thailand mengemukakan cadangan projek membina pelabuhan dan jambatan darat bagi mengurangkan masa perkapalan antara Lautan Hindi dan Pasifik dengan mengelak Selat Melaka, sebuah laluan laut utama yang sibuk.

Srettha dilaporkan memberitahu pelabur di San Francisco bahawa projek itu boleh memendekkan masa perjalanan kira-kira empat hari dan mengurangkan perbelanjaan perkapalan sebanyak 15 peratus.

ANWAR bersama Srettha melawat tapak titik pertemuan projek jajaran jalan menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam di Malaysia dan CIQ Sadao hari ini. FOTO Bernama.
ANWAR bersama Srettha melawat tapak titik pertemuan projek jajaran jalan menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam di Malaysia dan CIQ Sadao hari ini. FOTO Bernama.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin negara turut melawat Kompleks CIQS Sadao, Thailand yang masih dalam proses pembinaan dan membincangkan isu berkaitan jajaran baharu laluan pintu masuk utama darat antara dua negara terbabit.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia komited menyelesaikan isu jajaran baharu berkenaan bagi menyelesaikan masalah kesesakan trafik yang berlarutan di pintu sempadan sedia ada ketika ini.

Katanya, pembinaan laluan baharu berkenaan diyakini mampu memacu pertumbuhan ekonomi kedua negara terutama di kawasan sempadan dan memberi manfaat kepada rakyat kedua negara.

"Kalau kita lihat (pembinaan) di CIQS Sadao lebih cepat berbanding kita walaupun CIQS kita lebih awal (siap) daripada Thailand, yang tertangguh adalah jalan yang perlu kita siapkan segera tapi mengambil sikit masa kerana menyentuh laluan kawasan tentera.

"Kita akan berunding dalam tempoh dua minggu untuk muktamadkan, saya tak mahu perkara ini tertangguh lagi kerana sikap kerajaan Thailand sekarang lebih lunak dan akrab yang mahu menjadikan kawasan utara semenanjung dan selatan Thailand sebagai kawasan pertumbuhan baharu," katanya.

Anwar berkata, pihaknya turut menyatakan hasrat meneruskan rancangan pembinaan baharu baharu Rantau Panjang menyeberang Sungai Golok yang belum dapat dilaksanakan sehingga kini.

"Jambatan Rantau Panjang ke Golok kita sudah bersedia dan tunggu Perdana Menteri Thailand beri jawapan kerana keputusan perbincangan adalah untuk ia dilaksana selewat-lewatnya tahun hadapan.

"Sekiranya Thailand setuju, kita boleh dapatkan kelulusan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) dan segerakan pembinaan jambatan, saya akan maklumkan kepada Kabinet Jumaat ini untuk segerakan perkara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 5:34 PM