Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Malaysia dan Thailand mengukuhkan lagi kerjasama pertahanan sedia ada dengan mengekalkan serta meningkatkan hubungan pertahanan di semua peringkat bagi mengelakkan eksploitasi sempadan oleh tindakan pengganas dan pelampau keganasan.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kedua-dua pihak sudah mencapai persetujuan berhubung beberapa perkara.

"Antara yang dipersetujui ialah tentera darat kedua-dua negara bersetuju membina dua Pos Sempadan Berselaras (CBP) baharu bagi memerangi jenayah rentas negara dan penyeludupan, selain kerjasama ketenteraan dalam bidang latihan, kursus dan latihan bersama.

"Malaysia juga mencadangkan untuk meningkatkan kerjasama pertahanan dalam Peronda Selat Melaka (MSP) kepada Mesyuarat Menteri-menteri Segiempat dengan penyertaan Menteri-Menteri Pertahanan dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.

"Saya dengan sukacitanya melaporkan bahawa Timbalan Perdana Menteri Thailand Prawit Wongsuwan sangat menyokong cadangan kami, dan kami berharap Thailand menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Peringkat Menteri Segiempat MSP yang julung kali diadakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Prawit memulakan lawatan kerja rasmi sulung ke Malaysia selepas pandemik Covid-19 hari ini.

Beliau tiba di Wisma Pertahanan bagi membuat kunjungan hormat kepada Hishammuddin pada jam 11 pagi.

Prawit yang juga Menteri Pertahanan Thailand dijadual menghadiri Mesyuarat Ke-55 General Border Comittee Malaysia-Thailand yang akan dipengerusikan secara bersama Hishammuddin.

Delegasi Thailand yang turut hadir bersama Prawit ialah Timbalan Menteri Pertahanan Jeneral Chaichan Changongkol, Panglima Angkatan Tentera Thailand Jeneral Chalermpol Srisawat dan Ketua Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Thailand Jeneral General Supot Malaniyom.

Hishammuddin berkata, pertemuan empat mata itu juga membincangkan mengenai pembangunan beberapa projek infrastruktur utama di kawasan sempadan iaitu Jajaran Jalan Menghubungkan Bukit Kayu Hitam (BKH)-Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, pembinaan serta penyelengaraan Jambatan Persahabatan Antarabangsa di Bukit Kayu Hitam.

"Kedua-dua negara juga membincangkan tentang keselamatan makanan dan kesan gangguan rantaian bekalan yang timbul daripada pandemik Covid-19 khususnya ke atas bekalan makanan ke Malaysia dan Thailand.

"Kami bersetuju supaya agensi dan Kementerian berkaitan meningkatkan kerjasama dan terus mengukuhkan keselamatan makanan Malaysia dan Thailand untuk kekal stabil dalam semua keadaan.

"Hasil daripada isu yang dibincangkan yang memerlukan kerjasama antara kementerian atau antara agensi akan disampaikan dalam mesyuarat Kabinet akan datang,"katanya.

Hishammuddin (tengah) mengiringi Timbalan Perdana Menteri Thailand Jen Prawit Wongsuwan memberi hormat kepada Batalion Istiadat 1 Rejimen Askar Melayu Diraja di Kementerian Pertahanan hari ini. FOTO BERNAMA
Hishammuddin (tengah) mengiringi Timbalan Perdana Menteri Thailand Jen Prawit Wongsuwan memberi hormat kepada Batalion Istiadat 1 Rejimen Askar Melayu Diraja di Kementerian Pertahanan hari ini. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 2:11 PM