Malaysia perlu   pelan  kompetitif untuk kurangkan implikasi jika Projek Landbridge jadi nyata.
Malaysia perlu pelan kompetitif untuk kurangkan implikasi jika Projek Landbridge jadi nyata.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Rancangan Thailand untuk membina pelabuhan serta jambatan darat yang akan memendekkan perjalanan kapal hingga tidak perlu melalui Selat Melaka dilihat bakal memberi implikasi besar bukan saja kepada Malaysia bahkan Singapura dan Indonesia.

Ketua Chapter Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Alias Abdullah berkata, perancangan Thailand itu sudah tentu memberi implikasi terhadap sektor logistik tempatan dan pelabuhan utama di Malaysia.

Katanya, kesan berkenaan sangat ketara kepada urusan Pelabuhan Klang, Kuantan dan Tanjung Pelepas, malah tidak banyak kapal akan melalui Selat Melaka apabila pelabuhan terbabit siap kelak.

"Bagaimanapun, memang akan ada pro dan kontra. Paling penting kita perlu membuat rancangan holistik untuk sektor logistik negara termasuk yang bakal beri manfaat kepada sektor pelancongan.

"Jika benar terusan itu dibina dan siap, maka Malaysia perlu memanfaatkan faedah ekonomi yang bakal dijanakan khususnya kepada sektor pelancongan di mana kapal persiaran boleh dimanfaatkan," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, namun begitu terdapat beberapa tindakan yang kerajaan perlu dilakukan antaranya ialah memperkemaskan perkhidmatan pelabuhan kepada kapal syarikat besar yang menggunakan pelabuhan di Malaysia.

Beliau berkata, sekiranya boleh, kerajaan perlu menawarkan sesuatu yang lebih kompetitif dan membawa pulangan lebih baik berbanding menggunakan kemudahan di terusan Thailand berkenaan.

"Selain itu, kita perlu mewujudkan zon pertumbuhan ekonomi serantau antara selatan Thailand bersama Malaysia dan Sumatera, Indonesia agar pelaburan dan faedah bersama diperolehi.

"Kerjasama sosio-politik dan diplomasi serantau antara Thailand dan Malaysia juga harus dipertingkatkan agar kedua-duanya saling membantu dalam apa jua kerjasama yang memberikan kebaikan, faedah dan pulangan pelaburan.

"Negara turut boleh meningkatkan peluang ekonomi, pelaburan dan pendapatan kepada penduduk khususnya di utara Semenanjung Malaysia agar faedah terusan dapat dipertingkatkan," katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Felo Akademi Sains Malaysia itu turut mengulas mengenai pembinaan pelabuhan Thailand itu akan memberi impak dan menguntungkan Pulau Pinang.

"Mungkin ya dan tidak kerana ia bergantung kepada strategi ekonomi Thailand dan negara serantau.

"Namun begitu, saya lihat mungkin dari segi sektor pelancongan akan memberi sesuatu yang menarik," katanya.

Kementerian Ekonomi kaji impak buat negara

Kementerian Ekonomi sedang menjalankan kajian terhadap impak cadangan Thailand untuk membangunkan projek berbilion dolar membina jambatan darat bagi mengurangkan masa perkapalan di antara Lautan Hindi dan Pasifik.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kajian itu sudah dijalankan sejak beliau mula menerajui kementerian itu lagi.

Beliau berkata, langkah terbaik perlu dilakukan adalah mendapatkan data dan melihat bagaimana cadangan itu memberi kesan kepada ekonomi negara.

Katanya, sebarang keputusan hanya diputuskan selepas melihat hasil kajian itu.

"Kita tunggu laporan itu, tengok data dan sebagainya. Itu akan memudahkan kerajaan membuat keputusan atau dasar atau bagaimana untuk kita menangani jika ia berlaku," katanya pada sidang media sempena Persidangan CCUS Malaysia 2023 yang pertama kali dianjurkan Kementerian Ekonomi di Putrajaya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan perniagaan perkapalan pelabuhan di Malaysia berisiko mengalami gangguan jika rancangan untuk memintas Selat Melaka menjadi kenyataan.

Thailand mengemukakan cadangan projek berbilion dolar bagi mengurangkan masa perkapalan antara Lautan Hindi dan Pasifik dengan mengelak Selat Melaka, sebuah laluan laut utama yang sibuk.

Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin memberitahu pelabur di San Francisco bahawa projek itu boleh memendekkan masa perjalanan kira-kira empat hari dan mengurangkan perbelanjaan perkapalan sebanyak 15 peratus.

Beliau berkata, dengan volum trafik diunjurkan melebihi kapasiti Selat Melaka menjelang 2030, projek baharu itu akan memastikan aliran barangan yang lancar.

Projek Landbridge atau jambatan darat itu dianggarkan menelan kos kira-kira 1 trilion baht (AS$28 bilion).

Ia membabitkan pembinaan pelabuhan laut di kedua-dua bahagian semenanjung selatan Thailand, dihubungkan dengan rangkaian lebuh raya dan kereta api yang komprehensif.

Laluan sepanjang 90 kilometer itu akan berfungsi sebagai alternatif kepada cadangan untuk membina terusan melalui Segenting Kra.

Sebelum ini, Thailand mengemukakan cadangan projek berbilion dolar bagi mengurangkan masa perkapalan antara Lautan Hindi dan Pasifik dengan mengelak Selat Melaka, sebuah laluan laut utama yang sibuk.

Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin memberitahu pelabur di San Francisco baru-baru ini, projek itu boleh memendekkan masa perjalanan kira-kira empat hari dan mengurangkan perbelanjaan perkapalan sebanyak 15 peratus.

Katanya, dengan volum trafik diunjurkan melebihi kapasiti Selat Melaka menjelang 2030, projek baharu itu akan memastikan aliran barangan yang lancar.

Projek Landbridge itu dianggarkan menelan kos kira-kira 1 trilion baht (AS$28 bilion).

Rafizi Ramli.
Rafizi Ramli.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 12:02 PM