Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
Rohaniza Idris


Kuala Lumpur: Kerajaan sudah melaksanakan kajian berhubung cadangan pembangunan Jambatan Darat Chumpon-Ranong (CRLB) di Thailand serta potensi impak terhadap negara.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) untuk menentukan hala tuju selanjutnya.

"Kerajaan komited dalam memastikan kedudukan Malaysia kekal kompetitif terutama dalam mempercepat peralihan ke arah ekonomi bernilai tinggi," katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di dalam laman web Parlimen, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-TUMPAT) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan sudah melaksanakan kajian terperinci secara mendalam dan mempunyai dasar dan halatuju jelas berhubung cadangan Thailand akan membuka jambatan daratan atau projek terusan pintasan di Segenting Kra.

Rafizi menegaskan kerajaan juga akan memastikan infrastruktur dan kecekapan perkhidmatan pelabuhan akan diperkukuh selaras dengan perkembangan projek itu supaya persekitaran pelaburan Malaysia yang berada

di sekitar Selat Melaka dapat memberikan perkhidmatan logistik dan fasilitasi perdagangan yang terbaik.

"Ini akan meningkatkan kemampuan pelabuhan sedia ada untuk terus bersaing dan pelabur kekal menggunakan Selat Melaka sebagai perairan utama," katanya.

Thailand mengemukakan cadangan projek membina pelabuhan dan jambatan darat bagi mengurangkan masa perkapalan antara Lautan Hindi dan Pasifik dengan mengelak Selat Melaka, laluan laut utama yang sibuk.

Perdana Menterinya, Srettha Thavisin dilaporkan memberi jaminan cadangan pembinaan pelabuhan dan jambatan darat yang dirancang bagi memintas laluan perkapalan di Selat Melaka, akan turut membabitkan kerjasama Malaysia.

Beliau memberitahu projek itu dijangka dapat memendekkan masa perjalanan kira-kira empat hari dan mengurangkan perbelanjaan perkapalan sebanyak 15 peratus.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Malaysia masih belum memutuskan sama ada mendapatkan ekuiti dalam rancangan pembinaan pelabuhan dan jambatan darat berkenaan yang dianggar bernilai berbilion ringgit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 12:26 PM