Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani hari ini mencadangkan agar kerajaan melaksanakan sistem pindahan tunai bagi menyalurkan subsidi kepada kumpulan layak untuk membeli minyak masak paket.

Beliau berkata, bukan hanya subsidi sampai kepada golongan sasar dan menjimatkan wang kerajaan, malah memudahkan proses penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Johari berkata, ketika ini negara mengeluarkan 60 juta minyak masak paket setiap bulan atau 720 juta setahun yang dijual pada harga RM2.50 sepaket dan disasarkan untuk dimanfaatkan oleh 3.2 juta isi rumah B40.

Bagaimanapun katanya, berlaku ketirisan antaranya ada dalam kalangan pemborong menjual kepada syarikat mikro dengan harga lebih daripada RM2.50 menyebabkan sasaran subsidi tidak berlaku.

"Saya berpandangan tiba masanya kalau minyak masak ini kita boleh buat pindahan tunai, (contohnya) setiap rumah B40 pakai sekitar lima kilogram (kg) jadi kita memang nak bagi (subsidi) jumlah itu.

"Perbezaan dengan harga pasaran itu kita buat pindahan tunai. Jadi KPDN tak payah buat penguatkuasaan, ambil duit jadi pasaran jual semua sama," katanya semasa soalan tambahan yang dikemukakan di Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh kemudian dalam jawapannya bersetuju dengan cadangan Johari yang mampu mengelakkan ketirisan penjualan minyak masak paket.

"Saya setuju apa yang Titiwangsa cakap, ada ketirisan dan pindahan tunai mungkin merupakan cara yang terbaik.

"Mekanisme kita belum tuntaskan, tapi itulah arah dan hala tuju kita," katanya.

JOHARI di Dewan Rakyat. FOTO YouTube Parlimen Malaysia
JOHARI di Dewan Rakyat. FOTO YouTube Parlimen Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 12:45 PM