Fuziah Salleh
Fuziah Salleh
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (ECOSS) digunakan sebagai langkah untuk memantau bekalan minyak paket bersubsidi bagi memastikan tiadanya berlaku ketirisan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata, sistem itu boleh mengetahui rantaian bekalan minyak paket bersubsidi dari pengilang, pembungkus, pemborong dan peruncit.

"Kita pantau. Sekiranya ada di mana-mana kita dapati minyak paket bersubsidi itu berada di tempat yang tidak sepatutnya, maka kita boleh kesan ia datang dari pembungkus (atau) pemborong mana," katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) yang bertanyakan apakah usaha yang dilaksanakan oleh KPDN sementara menunggu pelaksanaan pengenalan diri (ID) bagi membeli minyak masak paket bersubsidi.

Fuziah pada awal Oktober lalu dilaporkan berkata, KPDN akan menetapkan hanya mereka yang mempunyai ID dan disahkan layak boleh membeli minyak masak paket bersubsidi.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, pihaknya juga akan menaik taraf sistem ECOSS tersebut dengan memasukkan tambahan rantaian iaitu pengguna.

"Seterusnya kita akan menaik taraf selepas peruncit tadi. Kita nak tambah kepada pengguna.

"Apabila pangkalan data pengguna yang layak menerima subsidi kita terima daripada PADU (Sistem Pangkalan Data Utama) bulan November nanti, kita boleh melihat bagaimana pangkalan data pengguna yang layak menerima subsidi itu boleh kita masukkan dalam Sistem ECOSS," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 12:37 PM