BEKALAN minyak masak botol dan paket masih banyak dijual di Kuantan. FOTO Asrol Awang
BEKALAN minyak masak botol dan paket masih banyak dijual di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Beberapa pasar raya di daerah ini didapati mula mengehadkan pembelian minyak masak paket di premis perniagaan mereka.

Tinjauan mendapati pengguna yang ingin mendapatkan minyak masak paket hanya dibenarkan membeli sebanyak tiga paket bagi setiap satu keluarga.

Difahamkan, tindakan itu bertujuan untuk memastikan bekalan minyak masak paket tidak terputus selepas kerajaan membuat keputusan menghapuskan subsidi bagi minyak masak botol mulai 1 Julai ini.

Suri rumah, Karimah Mohd Ghazali, 54, berkata walaupun stok bekalan minyak paket masih banyak di pasaran, dia bimbang pemansuhan subsidi minyak masak botol akan memberi kesan kepada bekalan minyak masak paket.

Katanya, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu memantau dan memastikan bekalan minyak masak paket tidak terputus.

"Sebagai golongan B40, sudah pasti kami tidak mampu untuk membeli minyak masak botol yang dijangka naik bermula 1 Julai ini.

"Ini kerana minyak masak paket dijual pada harga RM2.50 berbanding minyak masak botol dikatakan akan dijual melebihi RM7 satu kilogram.

"Oleh itu, pemeriksaan lebih kerap perlu dilakukan bagi mengelak kehabisan bekalan minyak masak paket di pasar raya dan kedai runcit," katanya.

Sementara itu, Jamaluddin Kassim, 65, berkata dia tidak mahu masalah terputus bekalan minyak masak paket berulang susulan pemansuhan subsidi minyak masak botol.

"Apabila harga minyak masak botol tidak lagi disubsidikan, maka harganya akan naik dan mereka yang tidak mampu akan beralih kepada minyak masak paket," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 2:55 PM