DATUK Seri Johari Abdul Ghani.
DATUK Seri Johari Abdul Ghani.
Mahaizura Abd Malik dan Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kerajaan memerlukan komitmen dalam politik bagi melaksanakan perubahan dari segi dasar fiskal.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, beliau bersetuju dengan strategi kerajaan untuk mengubah struktur ekonomi termasuk dasar fiskal.

Mengambil contoh subsidi, katanya, pemberian subsidi bersasar akan membolehkan Malaysia mampu menguruskan dasar fiskal secara berperingkat dengan baik, namun ia memerlukan komitmen politik.

"Kalau kita tengok dari segi subsidi sebagai sebuah kerajaan dengan pendapatan yang tidak berapa besar dianggarkan RM290 bilion, tetapi kita tengok anggaran subsidi kita bayar daripada jumlah pendapatan kita dapat, kita ambil 22 hingga 25 peratus untuk subsidi.

"Sudah tentu ini sangat tinggi. Kalau tinggi sampai kepada sasaran bantu orang tak apa tetapi kalau sistem subsidi kita ini akan menyebabkan banyak ketirisan dan kebocoran ia memberikan kesan sangat besar.

"(Jika) Kita boleh mengatasinya, ia akan beri satu kedudukan dasar fiskalyang bagus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Johari turut membangkitkan penjelasan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhubung isu minyak masak paket mudah dipantau, namun isunya turut diberikan kepada pengusaha mikro.

"Setahu saya, semasa kita mula-mula perkenalkan minyak ini diberikan kepada golongan B40 yang kita anggarkan 3.2 juta.

"Kalau dianggarkan Kementerian Ekonomi satu isi rumah dapat kira-kira lima kilogram sebulan bermakna kita baru pakai 15 juta paket, tetapi kerajaan keluar 60 juta paket, menteri jawab selebihnya perusahaan mikro pakai.

"Jadi, kalau pengusaha mikro pakai, saya nak beritahu dia sebut 92,000, saya ingat menteri pun faham mikro ini ada 1.2 juta, kalau kita nak (beri subsidi) mikro perlu ada pangkalan data," katanya.

Menjawab isu itu, Rafizi mengakui anjakan besar untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara memang tidak boleh dipisahkan dengan subsidi bersasar.

"Ramai ahli dewan beri pandangan pasal ini sebab itu dalam KSP dan insya-Allah pengumuman seterusnya kalau kebimbangan Titiwangsa (Johari) tentang komitmen politik.

"Saya yakin Kerajaan Perpaduan ini, kita berada dalam kerajaan untuk melakukan perkara betul dengan mengubah sepenuhnya mengenai subsidi bersasar ini.

"Pelaksanaan subsidi bersasar menggunakan Pangkalan Data Utama (PADU) akan meminimumkan pertindanan agihan bantuan dan subsidi daripada pelbagai agensi sekali gus penentuan kumpulan sasar lebih tepat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 8:20 PM