GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Ramai warga negeri ini mengeluh dan bimbang dengan situasi kos sara hidup yang akan menjadi lebih tinggi susulan keputusan kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol mulai hari ini.

Rosdalilah Zahari, 40, dari Gunung Rapat di sini, berkata pemansuhan subsidi minyak masak berkenaan nyata membuatkan rakyat terkesan, terutama dalam kalangan B40.

"Mungkin cara terbaik untuk mengurangkan penggunaan minyak masak adalah dengan memasak secara kukus, gril atau panggang yang boleh menjurus ke arah gaya hidup lebih sihat.

"Namun, bukan semua orang mampu untuk membeli minyak masak dengan harga puluhan ringgit ditambah dengan keadaan ekonomi yang semakin membebankan rakyat.

"Kenaikan harga minyak masak ini memang akan memberi kesan besar terutamanya keluarga B40 seperti kami," katanya ditemui tadi.

Noor Aida Aziz, 34, dari Taiping pula mengatakan, penarikan semula subsidi minyak masak bukan saja memberi kesan kepada peniaga malah isi rumah.

"Penarikan subsidi secara tidak langsung mengakibatkan harga makanan dan keperluan lain meningkat secara mendadak.

"Buktinya, peniaga makanan terpaksa menaikkan harga makanan bagi menampung kos dan modal," katanya.

Tambahnya, melihat pada situasi kini, ada peniaga kedai runcit yang menghadkan jualan minyak masak paket.

"Ada pula yang didakwa menjual minyak masak paket dengan syarat perlu membeli barangan lain juga. Kerajaan perlu fikirkan langkah yang lebih proaktif bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan minyak masak paket bersubsidi," katanya.

Sementara itu, pesara, Rashid Yahya, 61, berkata, penarikan semula subsidi tidak wajar kerana minyak masak adalah barangan asas penting serta menjadi keperluan harian utama masyarakat.

"Kalau kerajaan hendak menambah dana negara, tidak perlu tarik daripada subsidi rakyat, tambahan pula rakyat golongan B40 ke bawah pasti terkesan kerana minyak masak ini keperluan harian.

"Sebelum ini pun, kerajaan tidak pernah tarik subsidi minyak masak sebab ia keperluan semua," katanya.

Menurutnya, minyak masak paket bukan baru sekarang sukar diperoleh sebaliknya berlarutan sejak dulu.

"Jika tanya pada penjual, mereka sendiri kata susah hendak dapatkan minyak masak paket daripada pembekal, apatah pula rakyat.

"Boleh lihat di pasar raya, memang rak minyak masak paket ini sentiasa kosong walaupun kita datang awal pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2022 @ 12:58 PM