Siti Nazirah menunjukkan parut pembedahan anaknya yang menghidap kanser 'Infantile Fibrosarcoma'. FOTO Ihsan Siti Nazirah.
Siti Nazirah menunjukkan parut pembedahan anaknya yang menghidap kanser 'Infantile Fibrosarcoma'. FOTO Ihsan Siti Nazirah.
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Sejak lebih setahun lalu, kehidupannya kanak-kanak ini berubah 100 peratus apabila disahkan menghidap kanser 'Infantile Fibrosarcoma'.

Dugaan itu menyebabkan Aariz Ardhani Zainal Abidin, 2, kini menjadikan hospital sebagai rumah keduanya apabila perlu menjalani rawatan kemoterapi mahupun radioterapi.

Ibunya, Siti Nazirah Shasuddin, 37, berkata anak keempat daripada lima beradik itu disahkan menghidap kanser pada Ogos tahun lalu selepas terdapat benjolan besar di bahagian dada sebelah kanan.

Menurutnya, susulan itu anaknya perlu menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur sebanyak 24 kali termasuk sembilan kitaran bagi dos tinggi.

"Selepas rawatan kemoterapi, sel kanser anak saya masih ada dan doktor menyarankan anak menjalani dua kali pembedahan untuk membuang ketumbuhan seberat 1.34 kilogram (kg).

"Namun, selepas pembedahan itu sel kanser masih ada dan anak saya perlu menjalani rawatan radioterapi sebanyak 30 kali pada September lalu," katanya ketika dihubungi, di sini.

Menurutnya, sel kanser anaknya semakin ganas apabila mula menekan organ dalaman dan doktor menyarankannya mendapatkan ubat khas berharga RM200,000 di hospital yang sama.

Katanya, doktor cuba membantu untuk mendapatkan ubat itu, namun kosnya yang tinggi menyebabkan bajet tidak dapat diluluskan.

"Justeru, pelbagai usaha dilakukan bagi mendapatkan ubat khas ini, namun kami tidak mempunyai wang mencukupi tambahan hanya suami seorang yang bekerja sebagai polis bantuan.

"Saya mohon orang ramai dapat bantu dan turut berdoa supaya anak saya dapat menjalani rawatan itu kerana akan membahayakan nyawanya jika lambat," katanya.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan ke akaun CIMB 7049278933 atas nama Siti Nazirah Shasuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 3:29 PM