Dr. Matin (dua dari kiri) bersama Pengarah Hal Ehwal Perubatan MSD Singapura dan Malaysia, Dr Ivan Su (dua dari kanan), Jururawat Kanan Onkologi Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Margeret Stephen (kiri) dan penyampai berita Meera Sivasothy pada forum kesihatan kanser paru-paru.
Dr. Matin (dua dari kiri) bersama Pengarah Hal Ehwal Perubatan MSD Singapura dan Malaysia, Dr Ivan Su (dua dari kanan), Jururawat Kanan Onkologi Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Margeret Stephen (kiri) dan penyampai berita Meera Sivasothy pada forum kesihatan kanser paru-paru.
Oleh Aniza Zainudin


LAZIMNYA individu yang disahkan menghidap kanser paru-paru akan menjalani rawatan kemoterapi dalam tempoh tertentu bagi mengawal perkembangan sel kanser di dalam badan agar tidak terus merebak.

Rawatan kemoterapi yang dijalani ada kala mengundang pelbagai masalah kepada pesakit antaranya lesu, muntah, pengsan, demam berpanjangan dan penurunan berat badan.

Pada tahap itu, kebanyakan penghidap kanser memilih untuk berehat dan enggan menjalani sebarang aktiviti fizikal kerana keletihan.

Meskipun terpaksa berdepan dengan kesakitan, purata hayat pesakit yang menjalani rawatan kemoterapi hanya dianggarkan sehingga 10 hingga 12 bulan.

Justeru, pelbagai usaha diteruskan banyak pihak antaranya penemuan terapi sasar dan imunoterapi yang berupaya memanjangkan tempoh hayat dan meningkatkan perkembangan pemulihan pesakit.

Kaedah rawatan kombinasi imunoterapi dan kemoterapi dilakukan pada masa kini, boleh membantu menambah tempoh hayat pesakit sekitar empat hingga enam bulan.


Perunding Onkologi Klinik dan Radioterapi, Dr Matin Mellor Abdullah berkata, imunoterapi dikesan sebagai rawatan baharu yang boleh menambah jangka hayat pesakit kanser paru-paru.

“Statistik menunjukkan hanya 50 peratus pesakit yang menjalani rawatan susulan meninggal dunia.

“Ada juga pesakit yang menerima kombinasi dua rawatan ini mencapai jangka hayat lebih panjang iaitu lima tahun,” katanya pada Majlis Pelancaran Keytruda dengan Kombinasi Kemoterapi, baru-baru ini.

Dr Matin berkata, kajian Keynote 001 yang dibentangkan kepada Persatuan Onkologi Klinikal Amerika (ASCO) di Chicago, Jun lalu, mendapati jangka hayat pesakit terus bertahan mencapai tempoh lima tahun selepas menjalani rawatan imunoterapi iaitu 20 peratus lebih tinggi berbanding tanpa imunoterapi.

Katanya lagi, imunoterapi membantu menambah jangka hayat pesakit dan jumlah pesakit boleh hidup lebih lama lebih tinggi berbanding hanya menumpukan satu rawatan kemoterapi semata-mata.

“Kemoterapi ialah rawatan secara menyeluruh berbentuk ubat yang diberikan menerusi suntikan iaitu carboplatin dan paclitaxel atau nab-paclitaxel, seperti mana doktor menyuntik ubat antibiotik.

“Selain kemoterapi, ubat tambahan imunoterapi baru ini iaitu Keytruda (pembrolizumab) juga akan disuntik untuk dimasukkan ke dalam badan pesakit kanser paru-paru bukan sel kecil (NSCLC),” katanya.


Bagaimanapun, rawatan itu perlu konsisten dan memerlukan komitmen pesakit menjalani rawatan itu setiap tiga minggu selama dua tahun. Ubat baharu yang sesuai untuk pesakit kanser tahap empat itu mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan pada Mei lalu.

Berbanding pesakit kanser tahap akhir, mereka yang menghidap kanser paru-paru pada tahap satu dan dua boleh menjalani pembedahan dan berpeluang pulih sepenuhnya.

“Walaupun pembedahan mampu menyembuh kanser paru-paru, sel ini berkemungkinan menyerang kembali.

“Pesakit memerlukan rawatan kemoterapi juga sekiranya sel kanser tidak mempunyai ‘pemandu mutasi’ di mana rawatan yang sesuai perlu dilakukan untuk mengawal penyebarannya.

“Rawatan kombinasi imunoterapi dan kemoterapi adalah antara alternatif berkesan untuk mendapat jangka hayat yang lebih panjang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 5:05 AM