KEADAAN Abdul Halim. FOTO Ihsan Keluarga
KEADAAN Abdul Halim. FOTO Ihsan Keluarga
Mary Victoria Dass


“KANSER saya kini sudah berada pada tahap empat dan apa saja risiko boleh berlaku pada bila-bila masa,” kata pesakit tulang, otot dan tisu atau Maxillary Ostio Sarcoma tahap empat, Abdul Halim Haron, 43, semalam.

Abdul Halim berkata, dia sentiasa berdoa semoga Allah memberi kekuatan kepada dirinya untuk terus bertahan hingga menemui ubat sesuai bagi rawatan kemoterapi.

Beliau berkata, nasibnya agak malang berbanding pesakit kanser lain memandangkan ubat digunakan ketika rawatan kemoterapi sebanyak 10 kali di sebuah hospital awam di Johor Bahru tidak mampu membantu mematikan sel kansernya, sebaliknya sel itu semakin aktif.

Menurutnya, kanser berkenaan hanya berlaku dua dalam 1,000 individu dan pesakit kebiasaannya akan mengalami kesan pada bahagian kaki dan tangan.

“Sebaliknya saya mengalami pada bahagian wajah terutama mata kanan yang terjejas akibat kanser itu.

“Pada awalnya, saya hanya mengalami masalah kebas pada pipi kanan dan pada Oktober 2017 dan menjalani pembedahan untuk resdung pada Januari 2018.

“Ketika pembedahan itu, doktor menemui ketumbuhan di pipi kanan dan mengambil sampelnya untuk diuji.

“Pada Februari 2018, saya disahkan menghidapi kanser dan menjalani rawatan kemoterapi sejak itu hingga awal Januari tahun ini,” katanya.

Abdul Halim berkata, doktor bagaimanapun menyatakan ubat kemoterapi berkenaan tidak sesuai baginya kerana ia mengaktifkan sel kanser.

Menurutnya, malah ketumbuhan dialaminya semakin membesar hingga ia menutup bola mata, selain mengakibatkan matanya tersembul keluar serta penglihatannya terjejas.

Katanya, doktor memberi pilihan untuk menghantar sampel ketumbuhannya ke Amerika Syarikat untuk diuji supaya dapat menentukan ubat kemoterapi yang paling sesuai digunakan bagi rawatan.

“Saya difahamkan proses ujian di makmal memakan masa sebulan,” katanya.

Bapa kepada enam cahaya mata itu berkata, keluarganya diminta untuk menyediakan dana berjumlah RM18,000 bagi membiayai kos penghantaran sampel ketumbuhan dan ujian di makmal di negara berkenaan.

“Buat masa ini, kami memang tidak dapat menyediakan wang memandangkan kami sekeluarga bergantung kepada pendapatan isteri, Norizan Abdul Nasir, 41, kira-kira RM2,000 hasil menjual kuih-muih dan biskut.

“Malah, semua anak saya termasuk tiga lelaki dan tiga perempuan berusia antara lima hingga 17 tahun bersekolah,” katanya.

Abdul Halim berkata, dia yang juga bekas perunding takaful sebuah syarikat insuran juga berharap mampu menyediakan dana RM18,000 dalam tempoh masa terdekat.

“Saya masih banyak tanggungjawab terutama sebagai ketua keluarga dan saya sentiasa berdoa mampu bertahan bagi menjalani kemoterapi menggunakan ubat sesuai,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank Abdul Halim di 151258453616 atau isterinya di 551258508375.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 6:49 PM