AZMI (kiri) berkongsi pengalamannya bersama pesakit kanser di Program Kesedaran Kanser. FOTO Zuliaty Zulkiffli
AZMI (kiri) berkongsi pengalamannya bersama pesakit kanser di Program Kesedaran Kanser. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Langkawi: Pengalaman dua kali ditidurkan ketika menerima rawatan akibat barah limfoma kira-kira lima tahun lalu meninggalkan kenangan buat Azmi Azali, 45.

Menurutnya, ketika itu dia bagaikan mati dan hanya mengetahuinya melalui isteri, Nora Ali, 44, yang menjaganya di wad Hospital Pulau Pinang (HPP).

"Saya rasa bagaikan mati hidup semula selepas dua kali ditidurkan selama dua minggu akibat sel barah menyerang hinggakan saya nampak seakan berada di alam lain.

"Namun saya bersyukur kerana rawatan di hospital selain doa tidak putus kepada Allah memberi saya peluang hidup bersama isteri dan anak-anak sehingga sekarang," katanya.

Guru itu berkongsi kisah sejak menghidap barah pada Kempen Kesedaran Kanser anjuran Cancer Survivors Malaysia (CSM) bersama Puspanita Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Pejabat Kesihatan Langkawi, semalam.

Azmi berkata, dia dikesan menghidap barah limfoma pada 2019 apabila terdapat benjolan sebesar ibu jari di leher kirinya.

Namun katanya, benjolan itu membengkak dalam tempoh sebulan sehingga sebesar tapak tangan.

"Saya mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran dan doktor memberikan ubat.

"Doktor memberitahu sekiranya bengkak itu tidak surut, saya perlu menjalani rawatan susulan di hospital kerana mengesyaki saya menghidap barah," katanya.

Azmi berkata, ternyata bengkak di leher kirinya tidak surut menyebabkan dia mendapatkan rawatan susulan di Hospital Pulau Pinang (HPP) ketika itu.

Katanya, dimasukkan ke wad selama sebulan untuk menjalani rawatan endoskopi, ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan), ultrasound tetapi keputusannya semua negatif.

"Namun selepas menjalani ujian biopsi kali kedua, barulah doktor mengesahkan saya menghidap barah limfoma dan terus ke wad barah di HPP," katanya.

Azmi berkata, ketika menjalani kemoterapi kali pertama ia terpaksa ditunda kerana koma dan selepas sedar, keadaan kesihatannya masih tidak mengizinkan hingga terpaksa ditidurkan dengan dikawal morfin.

Katanya, ketika itu dia hanya dipasang tiub di hidung untuk membolehkan dia minum susu kerana tak boleh makan disebabkan sel kanser itu sudah menghimpit saluran pemakanan serta pernafasan.

"Selepas berbincang, doktor mengesyorkan supaya leher saya ditebuk di bahagian tengah selain dipasang alat trakeostomi di leher untuk memasukkan tiub trakeostomi ke dalam salur pernafasan (trakea) bagi memudahkan proses pernafasan berlaku menyebabkan saya tidak boleh bercakap sepanjang tempoh itu.

"Ketika sedar, waktu itu saya hanya mampu berinteraksi dengan isteri atau ahli keluarga dengan menulis di kertas dan telefon bimbit.

"Selepas empat bulan di hospital, barulah saya dapat pulang ke rumah dan selepas itu saya perlu berulang-alik ke hospital untuk menjalani kemoterapi selama lima jam 24 kali pada Jun 2020 dan radioterapi sebanyak 15 kali," katanya.

Azmi berkata, pada Disember 2020, sel kansernya sudah didapati tidak aktif sehingga sekarang dan kini dia dalam fasa bebas kanser.

Sehubungan itu katanya, dia menasihatkan semua pesakit kanser supaya menjalani rawatan hospital dan tidak berjumpa bomoh atau pawang kerana penyakit ini amat merbahaya serta tidak putus asa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 11:32 AM