DARI kiri, Sarina, Dr Mastura, Tunku Mukminah dan Dr John Low ketika sidang media pelancaran ubat antikanser, baru-baru ini.
DARI kiri, Sarina, Dr Mastura, Tunku Mukminah dan Dr John Low ketika sidang media pelancaran ubat antikanser, baru-baru ini.
TUNKU Mukminah sentiasa positif dan reda.
TUNKU Mukminah sentiasa positif dan reda.
DR MASTURA
DR MASTURA
SARINA jalani kehidupan normal, bekerja dan uruskan keluarga.
SARINA jalani kehidupan normal, bekerja dan uruskan keluarga.
Siti Zarinah Sahib

Ketika menyusukan bayinya, Zarif Syah yang ketika itu berusia lapan bulan, Sarina Mat Salleh, 41, mendapati terdapat benjolan kecil pada payudara sebelah kiri. Kadangkala ia terasa sakit dan berdenyut.

Bimbang memikirkan keadaan dirinya, Sarina membuat pemeriksaan di hospital dan mendapati ia petanda kanser payudara.

“Memang saya terkejut mendengar penerangan doktor yang mengesahkan kanser payudara berada pada tahap sifar. Namun doktor mengambil keputusan membuang ketulan itu manakala biopsi turut dilakukan ke atas payudara,” katanya yang ditemui dalam sidang media bagi memperkenalkan Palbociclib sebagai rawatan untuk pesakit kanser di Hotel La Meridien, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sama seperti pesakit lain yang perlu menjalani rawatan radioterapi, Sarina turut melaluinya. Namun dia mengelak melakukan kemoterapi kerana tidak sanggup berhadapan kesan sampingan yang sering dikatakan sebagai menyakitkan.

Doktor hanya membekalkan ubat hormon bagi mengelak sel kanser berkembang semula. Keadaan ini berlanjutan sehingga 2014 apabila dia mengalami kesakitan pada bahagian kaki sehingga seminggu lamanya.

Anggapan Sarina, ia hanya kecederaan biasa membabitkan otot disebabkan banyak berjalan di tapak pembinaan. Selepas pengambilan ubat-ubatan, kesakitannya tidak reda tetapi semakin teruk.

“Saya terus mendapatkan rawatan daripada pakar tulang di hospital. Alangkah terkejutnya apabila doktor mengesahkan ia bukan kesakitan biasa sebaliknya ada kaitan dengan kanser yang secara senyap merebak ke tulang, hati, tulang belakang dan pelvik,” katanya yang mula mengetahui dirinya penghidap kanser pada 2010.

Sarina langsung tidak sangka selepas empat tahun, sel kanser dengan cepat merebak ke bahagian badan yang lain. Kesedihannya lebih terasa apabila memikirkan anak dan kematian yang sering dikaitkan dengan penyakit ini.

Namun dia cepat sedar tidak semua penyakit kanser berakhir dengan kematian. Apa yang boleh dilakukan adalah berusaha, berdoa dan bertawakal agar Allah memberikan peluang untuk hidup lebih lama bersama anaknya.

“Mujur saya dapat mengawal keadaan ketika itu. Tipu jika saya katakan tidak sedih dengan apa yang dilalui. Hanya anak penguat semangat. Saya perlu teruskan kehidupan demi anak tersayang,” katanya yang terpaksa membuang ovari bagi mengelak sel kanser merebak ke bahagian lain.

Menyedari rawatan kemoterapi yang sering dilalui pesakit kanser amat menyakitkan, Sarina memberitahu doktor yang dia inginkan rawatan membolehkan dia menjalani kehidupan normal sama seperti orang lain. Boleh bekerja di pejabat dan mampu menguruskan keluarga.

Akhirnya doktor memberikan ubat antikanser Palbociclib dalam bentuk kapsul.

“Sebelum ini saya hanya menjalani rawatan radioterapi dan ubat hormon. Memang ada kesan sampingan seperti kulit tangan dan kaki yang kering, mengelupas dan pecah. Namun selepas mengamalkan ubat antikanser ini, saya dapati ia serasi dengan tubuh, malah saya dapat bekerja setiap hari seperti orang yang tidak sakit.

“Apabila bertemu rakan sekerja dan sibuk di tapak pembinaan pula, saya langsung tidak memikirkan soal kanser. Saya juga dapat menjalani kehidupan menggembirakan bersama keluarga,” katanya tersenyum.

Sarina juga tidak berasakan kanser yang dihidapi satu bebanan sebaliknya dia sentiasa bersyukur dengan apa yang dilaluinya kini. Dia juga akui kemungkinan gaya hidup dan pemakanan menjadi punca penyakit yang dihidapinya itu.

“Saya tidak menganggap ia sebagai masalah sebaliknya anugerah daripada Allah. Hanya Allah tahu mengapa Dia memilih saya. Pada masa sama, saya reda dengan ketentuan ini dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Saya bersyukur kerana dapat melalui rawatan kanser yang tidak menyakitkan. Malah Palbociclib memberikan kegembiraan kepada penghidap kanser untuk menjalani kehidupan tanpa tekanan. Rawatannya juga tidak menyakitkan,” katanya.

Dekati ayat suci

Bagi Datuk Tunku Mukminah Jiwa, 84, ketika kali pertama membuat pemeriksaan dia menangis apabila doktor memberitahu menghidap kanser payudara tahap empat. Lebih menyedihkan apabila sel kanser sudah merebak ke bahagian paru-paru dan tulang belakang.

“Siapa yang tidak sedih apabila doktor mengesahkan sel kanser sudah merebak ke bahagian lain. Ketika itu yang bermain di fikiran hanyalah kematian. Tetapi saya cepat sedar ia bukan pengakhiran, saya harus kuat menempuhnya,” katanya yang disahkan penghidap kanser pada Oktober 2014.

Oleh kerana sudah berusia, tidak semua rawatan sesuai dengan dirinya. Dia pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital selama dua minggu bagi menjalani radioterapi.

“Namun radioterapi turut ada kesannya tambahan pula saya sudah berusia. Akhirnya doktor mencadangkan saya mencuba Palbociclib, sejenis pil antikanser yang digunakan untuk pesakit kanser tahap empat,” katanya yang percaya rawatan moden lebih baik berbanding alternatif untuk pesakit kanser.

Hampir lima bulan mengamalkannya, ia tidak mendatangkan sebarang kesan sampingan malah Tunku Mukminah dapat melalui kehidupan dengan gembira.

“Kini saya sangat positif melalui hari mendatang dengan gembira. Saya juga tidak anggap kanser sebagai bebanan tetapi anugerah Allah. Bagi mengurangkan rasa tertekan saya banyak membaca al-Quran dan mengamalkan ayat Kursi. Ia sangat membantu saya lebih sihat dan ceria,” katanya.

Rawatan antikanser baru

Di Malaysia, seorang daripada 19 wanita berkemungkinan mendapat kanser payudara. Walaupun pesakit mendapatkan rawatan yang betul dan mengambil langkah pencegahan, 30 peratus daripada mereka yang disahkan penghidap kanser payudara peringkat awal berisiko mendapat kanser payudara metastatik (MBC).

MBC ialah satu keadaan apabila sel kanser merebak ke bahagian badan yang lain seperti hati, paru-paru, tulang atau otak. Sehingga kini pesakit yang berada pada tahap empat sukar disembuhkan sepenuhnya dan mereka perlu melalui kehidupan yang ‘menyakitkan’ serta tidak dapat melalui aktiviti normal seperti biasa.

Bagi pesakit kanser pula, sepanjang berhadapan dengan penyakit ini, sangat penting sekiranya mereka dapat melalui kehidupan seperti insan normal yang lain. Boleh bekerja, menguruskan keluarga dan menikmati kualiti hidup yang sangat bermakna.

Menyedari harapan tinggi untuk menikmati kehidupan berkualiti bagi pesakit kanser tahap empat, Pfizer Malaysia melancarkan rawatan antikanser Palbociclib yang sudah diberikan kepada pesakit kanser sejak enam bulan lalu.

Dalam sidang media yang dihadiri Perunding Pakar Onkologi Institut Kanser Hospital Pantai Kuala Lumpur Dr John Low dan Dr Mastura Md Yusof, ia mendedahkan keputusan ujian klinikal terhadap pesakit yang pernah menggunakan ubat antikanser ini.

Menurut Dr Low, pesakit yang dirawat menggunakan Palbociclib bersama letrozole menunjukkan kesan positif terhadap tubuh mereka malah ia dapat melanjutkan jangka hayat mereka.

“Ketika dunia perubatan terus mencari penawar untuk MBC, dengan kewujudan ubat antikanser ini, ia bukan saja merawat tetapi meningkatkan kadar kelangsungan hidup serta kualiti hidup mereka. Di Malaysia, Palbociclib dengan kombinasi letrozole ialah rawatan pertama dan hanya diberikan kepada pesakit MBC.

“Ini sekali gus menyediakan pilihan baru untuk pesakit MBC, tidak hanya bergantung kepada rawatan kemoterapi, radioterapi dan pengambilan hormon saja,” katanya.

Jelas Dr Mastura, kanser payudara pada tahap empat berlaku apabila sel kanser merebak ke bahagian limfa atau bahagian badan termasuk tulang, hati, paru-paru dan otak. Hampir 30 peratus penghidap kanser tahap empat akhirnya akan mendapat kanser payudara metastatik (MBC) apabila sel kanser merebak ke bahagian organ yang lain.

“Bagi pesakit kanser metastatik, biasanya mereka dibayangi dengan kematian dan ramai yang tidak mempunyai semangat untuk hidup walaupun kesedaran mengenainya bertambah baik. Komitmen Pfizer membawakan pembaharuan dalam ubat-ubatan mampu memanjangkan hayat pesakit dan memberikan kualiti hidup yang baik,” katanya.

Untuk pesakit MBC, rawatan diberikan bergantung kepada tahap pesakit dan sejauh mana sel kanser sudah merebak. Selepas menilai kesemuanya, doktor akan mengesyorkan sama ada pesakit boleh menerima terapi hormon, kemoterapi, radioterapi atau pembedahan payudara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 11:27 AM