Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid Hamidi.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui laluan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman tidak semudah diingini oleh mereka walaupun jelas perbuatan perasuah pengundi di kawasan itu dibuktikan.

Bagaimanapun Pengerusi BN itu berkata, dengan gerak kerja tersusun, beliau yakin pengundi Kemaman bijak menilai yang terbaik untuk kesejahteraan parlimen itu.

"Saya percaya dengan kekuatan personaliti yang ada pada calon dan kukuhnya Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, pastinya kemenangan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor nanti akan memangkin ekonomi dan kemakmuran parlimen ini.

"Sehinggakan, Menteri Besar Negeri Terengganu (Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) sendiri terpaksa tampil menjadi calon.

"Walaupun kita perlu akui, Terengganu memerlukan seorang pemimpin yang fokus membantu mengangkat taraf ekonomi tempatan dan memikirkan kelangsungan pembangunan negeri bukan menyimpan hasrat hati untuk menambah jawatan lagi," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

PRK Kemaman menyaksikan pertandingan dua penjuru antara BN yang mempertaruhkan Raja Mohamed Affandi menentang Pas yang diwakili oleh Ahmad Samsuri.

PRK Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, sudah tiba masanya rakyat di kawasan itu memilih wakil untuk berkhidmat.

"Bukannya memilih pakatan parti yang asyik dengan percaturan politik 'dah cukup jumlah' yang tidak henti-henti.

"Biarlah wakil yang mewakili rakyat Kemaman ini dapat fokus mentadbir parlimen dan dapat berhubung terus dengan Kerajaan Perpaduan untuk urusan kemajuan yang lebih mudah dan tersusun rapi," katanya.

Beliau turut menasihatkan kepada jentera BN untuk berkempen secara sihat serta berhemah dalam PRK Kemaman.

"Janganlah kita terikut cara mereka yang sarat dengan caci maki dan fitnah. Insya-Allah, BN mampu kembali mendominasi dan kembali menjadikan Kemaman 'biru ori'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 1:49 PM