BENDERA BN dan Pas di Chukai. FOTO Rohanis Shukri
BENDERA BN dan Pas di Chukai. FOTO Rohanis Shukri
BERNAMA

Kuala Terengganu: Seramai 141,043 pengundi berdaftar akan memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, hari ini.

Tepat jam 8 pagi nanti, 49 pusat mengundi dengan 244 saluran akan dibuka sehingga 6 petang, sebelum proses penjumlahan undi berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman di Chukai.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi PRK itu boleh mencapai sehingga 70 peratus, namun bergantung kepada keadaan cuaca, yang diramalkan hujan sepanjang hari di kawasan parlimen berkenaan hari ini.

Secara keseluruhan 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, enam anggota tentera dan tiga pasangan mereka serta 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Bagaimanapun semua anggota polis dan tentera yang layak mengundi awal sudah menunaikan tanggungjawab masing-masing melalui undi pos sebelum ini.

Sementara, tiga pengundi yang juga pasangan tentera sudah mengundi awal di Balai Polis Kijal, 28 November lalu.

PRK berkenaan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas.

Ia diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

PRK Kemaman adalah PRK keenam diadakan selepas PRU15 pada 19 November lalu, selepas PRK Parlimen Kuala Terengganu pada 12 Ogos lalu, PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram yang diadakan serentak pada 9 Sept, PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober dan PRK Parlimen Jepak pada 4 November.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 7:28 AM