Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (kiri) dan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (kanan).
Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (kiri) dan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (kanan).
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang berlangsung esok dilihat seimbang susulan kedua-dua calon iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dari Pas adalah watak 'heavyweight'.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali bagaimanapun berkata, pihaknya menjangkakan pengundi akan membuat keputusan untuk mengundi dalam PRK ini berdasarkan parti.

"Rakyat tengok kemampuan. Kenapa pengundi perlu menyokong Raja Mohamed Affandi ? Sebab kalau sokong, kerajaan Persekutuan akan memberi banyak pembangunan kepada Kemaman. Itu adalah sebagai satu tarikan.

"Tetapi orang juga akan pilih Ahmad Samsuri berdasarkan dia sebagai Menteri Besar, pemimpin kanan Pas dan turut mendapat manfaat. Pengundi Kemaman akan mendapat manfaat kerana Menteri Besar sendiri mewakili mereka," katanya kepada Harian Metro.

Mazlan berkata, pertarungan antara dua tokoh itu terarah kepada parti yang memberi keuntungan kepada pengundi dan melihat kedua-dua calon ini juga mempunyai kekurangannya.

"Kekurangan Ahmad Samsuri adalah dia sibuk sebagai Menteri Besar, di Parlimen nanti kurang inputnya. Orang akan nampak kelemahan di situ.

"Kemudian Raja Mohamed Affandi ini nampak komunikasinya kurang dan tidak nampak seperti 'real politician' disebabkan bekas jeneral," katanya.

Beliau berpandangan, sekiranya Raja Mohamed Affandi menang, pengundi Kemaman bakal memperoleh manfaat kerana besar kemungkinan beliau akan diberikan jawatan Timbalan Menteri Pertahanan jika berlakunya rombakan kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tidak mustahil dia akan menjadi Timbalan Menteri Pertahanan yang akan mengkhusus menjaga kebajikan askar," katanya.

Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Dr Azmi Hassan pula menjangkakan Ahmad Samsuri tidak berdepan masalah untuk mengekalkan kerusi Parlimen Kemaman.

Bagaimanapun, yang menjadi isu nanti adalah dari segi bilangan majoriti yang diperoleh oleh Menteri Besar Terengganu itu disebabkan jumlah yang dimenangi oleh Pas semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu adalah besar.

"Saya jangkakan Ahmad Samsuri akan menjadi wakil rakyat Kemaman tetapi majoriti lebih 27,000 itu akan turun dengan mendadak.

"Walaupun BN dan PH tewas, mereka boleh mendabik dada dengan mengatakan penduduk Kemaman telah menyesal untuk mengundi Perikatan Nasional (PN) dan Pas semasa enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 28 November sebagai tarikh mengundi awal dan 2 Disember bagi hari mengundi untuk PRK Kemaman yang perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada PRU15.

Sebanyak 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Pada PRU15, Parlimen itu menyaksikan Che Alias menang majoriti 27,179 undi dengan memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi Umno Terengganu Datuk Seri Ahmad Said (BN) yang mendapat 38,535 undi.

Dua lagi calon pada PRU15 ialah Hasuni Sudin mewakili PH yang memperoleh 8,340 undi dan Rosli Ab Ghani daripada Parti Pejuang Tanah Air meraih 506 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 12:47 PM