TANGKAP layar akaun TikTok Fatin Nabila Ahmad Zainuddin
TANGKAP layar akaun TikTok Fatin Nabila Ahmad Zainuddin
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Pempengaruh media sosial, Fatin Nabila Ahmad Zainuddin memohon maaf atas kesilapan dan pendekatan digubakannya dalam memberi nasihat di platform digital hingga mengundang perasaan kurang senang terhadap dirinya yang membawakan imej muslimah.

Permohonan maaf gadis mesra disapa Fatin itu dibuat menerusi hantaran video di akaun TikTok dan Instagram (IG) miliknya, hari ini.

"Niat asal saya hanyalah mahu mengajak orang ramai supaya tidak membandingkan diri kita dengan orang lain.

"Namun, Fatin sedar pendekatan Fatin itu agak salah dari segi suara dan muka yang betul-betul dekat dengan skrin.

"Jadi, dengan rendah diri, Fatin minta maaf dengan kesilapan yang Fatin lakukan," katanya

Menurut Fatin, banyak yang dipelajarinya daripada kesilapan itu terutamanya berkaitan cara menggunakan lantunan suara dan ekspresi muka.

Justeru, Fatin berkata, dia akan berhati-hati sebelum memuat naik sebarang perkongsian selepas ini.

"Saya akan perbaiki. Banyak Fatin belajar tentang 'Do and Don't' (boleh dan tidak)

bila buat 'content' (perkongsian video).

"Insya-Allah ,akan jaga lebih baik, teliti sebelum saya kongsi video," katanya.

Terdahulu, satu hantaran video dimuat naik Fatin menjadi bahan jenaka hingga ramai membuat parodi untuk mengikut trend walaupun perkongsiannya itu sarat dengan mesej motivasi kepada yang menonton.

Ada juga yang mengecam pempengaruh itu dengan mengatakan pendekatan digunakan tidak selari dengan penampilannya.

Kelmarin, pendakwah popular, Ustazah Asma' Harun menerusi hantaran di Facebook (Fb) membuat teguran mengenai cara penyampaian dakwah yang selari dengan ajaran Islam.

Bagaimanapun, Asma' memberi nasihat secara umum tanpa menyebut mana-mana nama dalam hantaran dimuat naiknya itu.

"Astaghfirullah... memang dah baca sana sini komen berkaitan ada pempengaruh wanita muslimah yang menyampaikan ilmu serta nasihat dengan gaya dan suara lembut yang kurang menyenangkan.

"Ada yang kongsi secara terbuka video reaksi yang tidak baik dan sopan di mana rata-ratanya daripada golongan lelaki sehingga boleh membuka kepada ruang fitnah yang sangat luas.

"Berkongsi sesuatu ilmu yang mendatangkan manfaat, kebaikan dan inspirasi sangat dibolehkan, sesiapa pun boleh buat sama ada lelaki mahupun perempuan, cuma cara penyampaiannya mestilah selari dengan panduan yang Islam ajarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 5:57 PM