INEOS turut mengharapkan pengalaman Thomas. FOTO Agensi
INEOS turut mengharapkan pengalaman Thomas. FOTO Agensi
AFP

London: Carlos Rodriguez dan Egan Bernal akan menerajui cabaran INEOS Grenadiers pada perlumbaan Tour de France (TdF) 2024, pasukan yang berpangkalan di Britain itu mengumumkannya hari ini.

Pasukan itu menampilkan dua bekas juara perlumbaan, Bernal dan Geraint Thomas.

Rodriguez dari Sepanyol, 23, menduduki tempat kelima dalam TdF tahun lalu dan memenangi Tour de Romandie pada April.

Bernal, yang menyarung jersi kuning pada 2019, mengalami kecederaan serius selepas merempuh bas semasa sesi latihan tiga tahun kemudian dan masih belum menemui semula prestasi terbaiknya.

Pelumba berusia 27 tahun itu menduduki tempat ketujuh di Paris-Nice tahun ini, ketiga di Volta a Catalunya dan keempat di Tour de Suisse.

Thomas, pemenang TdF 2018, akan bersama dua lagi pelumba Britain, Tom Pidcock dan Ben Turner.

Thomas, 38, menduduki tempat ketiga dalam Giro d'Italia tahun ini.

Jonathan Castroviejo dari Sepanyol, Laurens De Plus dari Belgium dan pelumba Poland, Michal Kwiatkowski melengkapkan pasukan berkenaan.

Pengarah prestasi Scott Drawer berkata: "Selepas musim yang kukuh dan konsisten, Carlos akan mengetuai INEOS Grenadiers di perlumbaan yang diadakan di seluruh Perancis.

"Carlos terus mengagumkan kami dengan prestasinya serta profesionalisme dan sikapnya di dalam dan di luar.

"Berada di sampingnya adalah pelumba yang kuat dan berpengalaman di TdF, Egan, dengan Tom dan Geraint memberikan sokongan tetapi juga bakal berlumba secara agresif, mengganggu dan membawa perlumbaan memihak kepada kami."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 7:33 PM