KEADAAN anak kucing yang didakwa dicampak yang akhirnya maut ditemui oleh pasangan suami isteri. Tangkap Layar video tular
KEADAAN anak kucing yang didakwa dicampak yang akhirnya maut ditemui oleh pasangan suami isteri. Tangkap Layar video tular
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung tindakan seorang pengawal keselamatan yang didakwa mencampak kucing ke dalam longkang berhampiran sebuah pusat beli-belah di sini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, laporan dibuat oleh seorang wanita berusia 52 tahun pada 11.30 pagi, 18 Januari lalu.

Beliau berkata, pengadu yang juga pegawai kanan sebuah stesen televisyen mengatakan melihat seorang pengawal keselamatan mencampak seekor kucing ke dalam longkang di belakang bangunan pejabatnya.

"Pengadu meminta bantuan daripada pekerja pembersihan untuk mengambil anak kucing terbabit dan dibawa ke sebuah klinik veterinar di Mutiara Damansara untuk rawatan.

"Pengadu turut membuat laporan untuk bantuan polis memberikan amaran kepada individu terbabit supaya tidak melakukan perbuatan buruk kepada kucing lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas laporan, Shahrulnizam berkata, polis yang menjalankan siasatan memanggil pengawal keselamatan terbabit dan memberi amaran keras.

Katanya, laporan kes itu turut dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan lanjut.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perlakuan jenayah untuk menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video menunjukkan seekor anak kucing di tepi longkang diselamatkan beberapa individu.

Rakaman berdurasi satu minit 56 saat itu meruntun hati ramai orang apabila pemilik video menunjukkan perjalanan proses rawatan anak kucing terbabit di sebuah klinik sehingga akhirnya ia mati.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 6:32 PM