Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Gajah baru-baru ini untuk mendaparka perintah reman. FOTO Arkib NSTP
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Gajah baru-baru ini untuk mendaparka perintah reman. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Batu Gajah: Polis sudah merakam percakapan 12 individu bagi membantu siasatan kes wanita yang maut akibat dibunuh suaminya dalam kejadian di bilik sebuah hotel di Jalan Pejabat Pos dekat pusat bandar Batu Gajah, di sini, pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohammad berkata, ibu mangsa yang berusia 56 tahun adalah antara yang dirakam percakapan, selain beberapa individu lain termasuk ahli keluarga mangsa.

Menurutnya, siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu ketika ini masih berjalan, dengan tidak menolak kemungkinan tempoh reman suspek berusia 37 tahun itu yang berakhir Khamis ini, akan disambung lagi.

"Keterangan mereka sudah diambil dan buat masa ini siasatan lanjut masih dijalankan.

"Tempoh reman suspek mungkin akan disambung bagi membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan. Sebaik sahaja kertas siasatan lengkap, kita akan serah kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tujuan pendakwaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Khamis lalu, media melaporkan Nisya Syahkila Shaharun, 32, maut akibat dibunuh suaminya dengan mayatnya dijumpai dengan beberapa kesan tikaman dalam bilik hotel di Batu Gajah.

Motif pembunuhan itu dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati apabila mangsa masih ingin meneruskan tuntutan perceraian secara fasakh walaupun sudah dipujuk suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 6:27 PM