Mohd Kaharudin Ibrahim melihat perangkap dipasang Perhilitan bagi menangkap harimau kumbang. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Mohd Kaharudin Ibrahim melihat perangkap dipasang Perhilitan bagi menangkap harimau kumbang. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: "Sejak seminggu lalu saya tidak lagi ke surau selepas mengetahui binatang yang membaham ayam di dalam reban adalah harimau kumbang," kata Mohd Kaharudin Ibrahim,60 dari Kampung Gagu.

Katanya pada awalnya dia hanya beranggapan ayam ternakan itu dibaham musang dan tidak mengendahkannya namun apabila dia melihat sendiri harimau berkenaan, dia dan isteri mula diselubungi ketakutan.

"Kira-kira dua minggu lalu, selepas Maghrib dari dalam rumah saya melihat sendiri haiwan ganas itu keluar dari reban dan kemudian apabila rakan menunjukkan gambar dari internet ia adalah seekor harimau kumbang.

"Mujurlah saya tidak menyergah harimau yang berada di dalam reban kerana pada awalnya menyangka itu perbuatan musang.

"Takut dan risau keselamatan diri, saya tidak ke surau untuk solat Maghrib, Isyak dan Subuh berjemaah di surau berhampiran," katanya.

Mohd Kaharudin berkata kira-kira 50 ayam mati dibaham harimau dan kini hanya tinggal 11 anak ayam dan tidak diusik oleh harimau berkenaan.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Gagu Khairul Aznan Maaris berkata serangan harimau kumbang terhadap haiwan ternakan penduduk dipercayai bukan kali pertama berlaku.

Katanya kali pertama harimau berkenaan menyerang itik peliharaan penduduk pada Mac atau April lalu.

"Pada 6 Jun lalu harimau itu kembali menyerang haiwan ternakan penduduk dan pihak JPKK kemudian membuat laporan kepada Perhilitan sebelum mereka datang memasang perangkap pada 22 Jun lalu,"katanya.

Sementara itu, Perhilitan berkata pada 21 Jun lalu siasatan yang dijalankan di tempat kejadian mendapati terdapat kesan kehadiran spesies harimau di kawasan reban sebelum perangkap dipasang berhampiran reban.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 5:39 PM