Gambar hiasan
Gambar hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Persatuan Haiwan Malaysia (MAA) menawarkan ganjaran RM3,000 kepada individu menyalurkan maklumat mengenai seorang lelaki disyaki warga Myanmar yang melapah seekor kucing seperti tular di media sosial.

Presidennya Ari Dwi Andika berkata, kejadian disyaki berlaku di negara ini berdasarkan perbualan lelaki itu di dalam video berkenaan yang menggunakan bahasa Malaysia.

Menurutnya, satu siasatan menyeluruh mengenai pembunuhan haiwan peliharaan itu perlu dilakukan bagi mengenal pasti kaedah dan niat sama ada ia bertujuan dijadikan makanan atau suka-suka.

"Jika siasatan mendapati kucing sengaja dibunuh dan untuk tujuan konten media sosial, pelaku perlu ditangkap, disiasat dan seterusnya dihadapkan ke muka pengadilan.

"Secara moral juga tindakan mematikan kucing untuk tujuan makanan bukanlah budaya masyarakat Malaysia dan ia tidak boleh dinormalisasikan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mengenali atau pernah melihat lelaki melapah kucing itu supaya menyalurkan maklumat lengkap kepada MAA menerusi aplikasi WhatsApp di talian 014-6345464.

Katanya, maklumat itu bagi membolehkan satu laporan rasmi dibuat kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

"Ganjaran RM3,000 ditawarkan kepada saksi yang menyalurkan maklumat atau boleh mengesahkan kejadian sehingga tertangkapnya pelaku dan dibuktikan bersalah serta dijatuhi hukuman," katanya.

MAA turut memuat naik rakaman video yang menunjukkan perbuatan kejam lelaki berkenaan di laman sosial Facebook dan Instagram rasmi mereka.

Menerusi rakaman berdurasi 48 saat itu, seorang lelaki memegang pisau sebelum melapah seekor kucing yang sudah mati.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 7:01 PM