TUAN Ibrahim (dua kiri) menyampaikan Watikah Perlantikan Calon PAS bagi PRK Parlimen Kemaman kepada Dr Ahmad Samsuri. FOTO Ghazali Kori.
TUAN Ibrahim (dua kiri) menyampaikan Watikah Perlantikan Calon PAS bagi PRK Parlimen Kemaman kepada Dr Ahmad Samsuri. FOTO Ghazali Kori.
Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: PAS mempertaruhkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), 2 Disember ini.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Ceramah Perdana dan Majlis Pengisytiharan Calon PAS PRK Kemaman di Dewan Terbuka Kemaman Arena Square di sini, malam tadi.

Ini adalah penampilan pertama Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS bagi merebut kerusi parlimen dan dijangka menentang calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang berjaya mempertahankan kerusi berkenaan bagi penggal kedua.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu itu memperoleh 20,927 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Suhaimi Sulaiman dengan majoriti 17,286 undi.

Untuk rekod, Ahmad Samsuri bertanding buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan memenangi kerusi DUN Ru Rendang selepas menewaskan dua calon lain dengan majoriti 6,028 undi.

Pada PRU15 yang lalu, Che Alias Hamid berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman yang dimenangi PAS pada PRU14 selepas menewaskan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan memperoleh majoriti sebanyak 27,179 undi.

Che Alias memperoleh undi 65,714 undi, manakala Ahmad mendapat 38,535 undi.

Bagaimanapun kemenangan Che Alias terbatal selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 26 September lalu menerima petisyen yang difailkan calon BN Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.

Ia mendakwa terdapat unsur sogokan di beberapa majlis rasmi melalui dana bantuan i-Belia dan i-Siswa yang telah diagihkan kepada pengundi semasa tempoh berkempen PRU15 untuk meraih kemenangan Che Alias.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini dengan hari penamaan calon ditetapkan pada Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 11:35 PM