BAND KLANGIT dianggotai duo iaitu Hariz (kiri) dan Arie.
BAND KLANGIT dianggotai duo iaitu Hariz (kiri) dan Arie.
Norhayati Nordin


Band Klangit bukanlah kumpulan pemuzik baharu dalam arena seni tanah air. Mereka sudah menapak sejak 2008 dan pernah popular dengan lagu Sesal Mendua dan Dia Lydia.

Namun, band ini 'menyepi' seketika daripada radar industri hiburan pada 2017 sehingga 2019 dan muncul kembali secara 'trio' atau tiga anggota pada 2020 lalu dengan mempertaruhkan lagu Aku Masih Di Sini.

Bagaimanapun, Band Klangit kini selesa bergerak secara duo dengan dianggotai Mohamad Nor Hadre Ayub atau Arie selaku penyanyi dan Mohd Haris Muhamad (Hariz, pemain gitar) sejak 2022 lalu.

Semakin melonjak dengan lagu Pusing, Setelah Hujan, Tunggu Abang Pulang dan terbaharu, Hanyut, nama Band Kelangit masih lagi boleh dikatakan 'kurang dikenali' atau tidak popular berbanding lagu mereka.

Mengulasnya, Arie berkata, Klangit sudah terbiasa dengan situasi 'kurang dikenali' atau tidak popular sejak di awal kemunculan lagi, namun ia tidak sedikit pun membuatkan dia dan juga Hariz berasa kecewa serta terkilan.

"Dari dulu, memang macam itu (lagu lagi popular). Kita (Klangit) hadir hanya menyumbangkan karya kita, sebab muka pun tak berapa nak boleh pergi. Memang dari dulu sejak keluar lagu Sesal Mendua dan Dia Lydia.

KLANGIT kini popular dengan lagu Pusing, Tunggu Abang Pulang dan Hanyut.
KLANGIT kini popular dengan lagu Pusing, Tunggu Abang Pulang dan Hanyut.

"Lagu-lagu kita memang lebih menonjol daripada band sendiri. Sebab itu, ramai yang masih kurang mengenali Klangit. Bahkan, masih juga ada lagi yang ingat Band Klangit ini bukan dari Malaysia, tapi negara Seberang (Indonesia).

"Apapun, perasaan kecewa bila mana nama band kita kurang dikenali, tidak ada langsung. Tapi, lebih kepada merasakan perjuangan lagu-lagu Klangit tercapai. Orang dengar dan terima lagu kita walaupun kurang kenal band.

"Paling utama, kita dapat hiburkan orang daripada lagu-lagu yang dicipta. Mungkin 'sound' (bunyi) lagu dan cara saya menyanyi itu pun nampak seakan-akan band dari Indonesia. Tapi, kita ada cuba tukar (susunan muzik) untuk lagu Pusing, namun tetap orang (pendengar) kaitkan juga," katanya.

Menurut Arie, disebabkan lagu-lagu Klangit yang lebih ke depan berbanding band, jadi mereka akur dan terima saja tanggapan segelintir orang terhadap Klangit, bukan band tempatan, berbanding kalau band itu yang lagi ke depan daripada lagunya.

Berbicara juga mengenai bergerak secara duo, Hariz pula berkata, setakat ini Klangit selesa dengan keputusan diambil mereka walaupun menyifatkan keberadaan anggota yang ramai dalam band juga menyeronokkan.

"Kita seboleh-bolehnya untuk band ini, siapa yang tak nak kalau ada ramai anggota. Tetapi, kadang-kadang kalau dari segi kerja ini mungkin berdua lebih baik. Cuma, kalau ada kawan-kawan lain berminat nak bersama-sama kita dalam projek lagu lain, silakan. Klangit sentiasa bersikap terbuka untuk bekerjasama.

'Kenapa juga selama ini Klangit kejap ada, kejap tak ada sebab kita sudah melalui perjalanan yang panjang dalam karier muzik dan nyanyian ini. Terutama, untuk kita hasilkan sesebuah lagu. Jadi, orang nampak Klangit macam sekejap ada dan kemudian hilang kerana kita sentiasa mencari lagu yang sesuai," katanya.

Sehubungan itu, sama seperti penyanyi lain, Klangit juga melancarkan lagu raya berjudul Pusing Raya yang mendapat tempat di hati pendengar muzik tanah air ketika sambutan hari raya Aidilfitri lalu.

KLANGIT adalah band tempatan, namun masih kurang dikenali.
KLANGIT adalah band tempatan, namun masih kurang dikenali.

Saingan penyanyi baharu

Tempoh lebih sedekad berkecimpung dalam industri hiburan, Band Klangit sedar pasang surut yang berlaku dan pernah melaluinya. Begitu juga, kehadiran bakat baharu seni suara sebagai pesaing.

Arie berkata, situasi 'patah tumbuh hilang berganti' atau 'tiada yang lama maka tiada yang baharu' adalah perkara biasa di dalam apa saja bidang kerjaya. Ini kerana, ia adalah lumrah dalam kehidupan.

"Tidak dinafikan, penyanyi baharu sekarang memang kebanyakannya bagus dan berbakat. Jadi kita (Klangit) hanya mampu buat lagu yang terbaik, disukai pendengar dan jalan saja. Cara bersaing kita adalah yang sihat, asalkan lagu diterima sudah cukup.

"Ditambah, Klangit juga sebenarnya suka bereksperimen dalam menghasilkan lagu-lagu kita sendiri. Ini kerana, muzik adalah minat utama kita dan bukanlah sebab terlalu cerewet. Untuk Klangit, lagu yang kita ada memang banyak.

"Cuma, kalau kita nak keluarkan sesebuah lagu itu, kena tengok juga masa yang sesuai. Sebab, kalau lagunya sedap didengar pun, tetapi masa keluar (dilancarkan) tidak kena, maka tak jadi juga.

"Justeru, untuk itu kita suka 'try' (cuba) saja dan mana yang sangkut-sangkutlah. Apapun, Klangit pastikan lagu yang dipilih untuk kita dilancarkan itu adalah produk tepat," katanya.

Ditanya juga mengenai penciptaan lagu untuk penyanyi lain, Arie berkata, setakat ini Klangit belum lagi bersedia untuk buatkan lagu untuk penyanyi lain walaupun ada permintaan kerana mereka berasa belum layak memberikan karya kepada pihak lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 8:36 AM