bomba membantu memindahkan mangsa banjir di Changkat Jong ke PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak. FOTO IHSAN BOMBA.
bomba membantu memindahkan mangsa banjir di Changkat Jong ke PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak. FOTO IHSAN BOMBA.
Muhamad Lokman Khairi


Ipoh: Jumlah mangsa banjir di Perak menunjukkan sedikit penurunan, pagi ini, apabila 529 orang daripada 163 keluarga dipindahkan ke 10 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah.

Ia berbanding 537 orang daripada 152 keluarga di 10 PPS, 4 petang semalam.

Laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Perak setakat jam 8 pagi menunjukkan Larut, Matang dan Selama (LMS) adalah daerah paling terjejas dengan merekodkan 350 mangsa (104 keluarga) ditempatkan di lima PPS.

Daripada jumlah itu, 224 mangsa (66 keluarga) berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Temerlok.

Selain itu, 53 orang (16 keluarga) ditempatkan di PPS SK Matang Gelugor dan 34 mangsa (10 keluarga) dipindahkan ke PPS Dewan Orang Ramai Sungai Baru Trong.

PPS SK Matang menempatkan 22 mangsa (lapan keluarga), manakala PPS Dewan Orang Ramai Batu Hampar Trong menempatkan 17 mangsa (empat keluarga).

PPS Masjid Al-Wusta Batu 8 dan PPS Dewan Orang Ramai Jebong Kiri ditutup secara rasmi malam tadi.

Turut terjejas, daerah Kuala Kangsar yang membabitkan 131 mangsa (46 keluarga) dipindahkan ke empat PPS.

Di daerah Hilir Perak, semua 48 mangsa (13 keluarga) berlindung di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak melaporkan semua sungai di negeri itu kini berada pada paras normal.

Ini termasuk Sungai Kerian di Selama dan Sungai Perak di Jambatan Sultan Iskandar yang sebelum ini dilaporkan masing-masing berada pada paras berjaga-jaga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 9:04 AM