Zatul Iffah Zolkiply dan Rosli Ilham


Chukai: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menepati ramalan apabila memenangi kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Ahmad Samsuri yang memperoleh majoriti 37,220 menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Naib Presiden PAS itu mendapat 64,998 undi manakala Raja Mohamed Affandi mendapat 27,778 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab kira-kira jam 10.10 malam di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman.

Kemenangan Ahmad Samsuri meranapkan impian BN untuk kembali berkuasa di Parlimen Kemaman yang pernah menjadi kubu kuat parti itu.

Selain berjaya mengekalkan penguasaan di kerusi parlimen berkenaan, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang bukan hanya melepasi sasaran 30,000 majoriti sebaliknya menang bergaya dengan majoriti lebih besar.

Pada Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15) yang lalu, Che Alias Hamid berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman yang dimenangi PAS pada PRU14 selepas menewaskan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said dengan memperoleh majoriti sebanyak 27,179 undi.

Che Alias memperoleh undi 65,714 undi manakala Ahmad mendapat 38,535 undi dan dua calon lain iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin yang mendapat 8,340 undi manakala calon Pejuang, Rosli Ab Ghani hanya memperoleh 506 undian.

Bagaimanapun, kemenangan Che Alias terbatal selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 26 September lalu menerima petisyen yang difailkan calon BN, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 10:18 PM