Zatul Iffah Zolkiply dan Noor Atiqah Sulaiman dan Rosli Ilham


Chukai: Kerusi Parlimen Kemaman secara tidak rasmi menjadi milik Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Setakat jam 8.30 malam, calon Pas Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mendahului dengan majoriti 33,820 undi.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu mendapat 58,843 undi manakala calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor memperoleh 25,023 undi.

Ahmad Samsuri sudah melepasi majoriti 27,179 undi yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Kemenangan Ahmad Samsuri itu meranapkan impian BN untuk merampas kembali kerusi berkenaan yang pernah menjadi kubu kuat parti itu.

Pada Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15) yang lalu, Che Alias Hamid berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman yang dimenangi Pas pada PRU-14 selepas menewaskan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said dengan memperoleh majoriti sebanyak 27,179 undi.

Che Alias memperoleh undi 65,714 undi manakala Ahmad mendapat 38,535 undi dan dua calon lain iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin yang mendapat 8,340 undi manakala calon Pejuang, Rosli Ab Ghani hanya memperoleh 506 undian.

Bagaimanapun, kemenangan Che Alias terbatal selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 26 September lalu menerima petisyen yang difailkan calon BN, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu merangkap Hakim Pilihan Raya, Anselm Charles Fernandis Hakim Anselm Charles menerima dakwaan pempetisyen di dalam Petisyen Pilihan Raya bahawa terdapat sogokan di beberapa majlis rasmi Kerajaan Negeri Terengganu melalui dana bantuan i-Belia dan i-Siswa yang diagihkan kepada pengundi semasa tempoh berkempen PRU-15 untuk meraih undi kepada Che Alias.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 8:39 PM