Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar


Kuala Terengganu: PAS menafikan khabar angin akan meletakkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Kemaman nanti.

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini, parti belum membuat sebarang perbincangan berkaitan PRK termasuk soal calon yang akan bertanding di kerusi berkenaan.

"Saya tak dengar pula ura-ura itu, saya baca dalam media dan (setakat ini) tidak ada perbincangan ke arah itu dan kami pun sebenarnya belum 'sit down' (berbincang) lagi di kalangan pimpinan tertinggi untuk bincang.

"(Ia termasuk) tentang persiapan untuk menghadapi pilihan raya terutama penentuan calon dan termasuklah negeri-negeri mana yang akan jadi negeri(yang) membantu di peti-peti undi di Parlimen Kemaman.

"Itu pun belum lagi kami bincang, tarikh nak bincang pun belum ada lagi dan (mungkin) minggu depan baru ada kemungkinan (saya) ke Kuala Lumpur ," katanya.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri ke-15 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Terdahulu, portal FMT melaporkan PAS berkemungkinan meletakkan Dr Mahathir sebagai calonnya pada PRK Kemaman.

Sumber rapat bekas Perdana Menteri itu berkata, jika bekas Ahli Parlimen Langkawi itu kembali ke Dewan Rakyat ia akan memberinya peluang untuk berkhidmat sebagai "semak dan imbang yang lebih berkesan terhadap kerajaan perpaduan", yang telah menjadi pengkritik hebatnya sejak ia mengambil alih Putrajaya November lalu.

Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu juga tidak menolak kemungkinan akan mempertaruhkan penyandang kerusi, Che Alias Hamid untuk mewakili PAS sekali lagi pada PRK Parlimen Kemaman.

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri berkata, segala kemungkinan berkaitan calon boleh berlaku termasuk calon luar selagi penamaan calon tidak dibuat.

Ketika ditanya ada kemungkinan meletakkan calon BERSATU, Ahmad Samsuri berkata,setakat ini, tidak ada cadangan sedemikian memandangkan kerusiberkenaan adalah milik PAS.

"Setakat ini, tidak ada cadangan sedemikian kerana kerusi itu ialah kerusi tradisi PAS bertanding dan status quo 'incumbent' (penyandang jawatan) ini adalah daripada PAS," katanya.

Pada 26 September lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias daripada PAS yang mewakili PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November tahun lalu.

Pada PRU15 lalu, Che Alias memenangi kerusi berkenaan selepas mendapat 65,714 undi menewaskan tiga calon lain iaitu calon Pejuang, Rosli Ab Ghani (506 undi), calon Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Said (38,535 undi) dan calon Pakatan Harapan, Hasuni Sudin (8,340 undi).

Che Alias memenangi kerusi berkenaan untuk penggal kedua dengan majoriti 27,179 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 5:16 PM