DEKORASI di ruang tamu menggabungkan elemen moden dan tradisional.
DEKORASI di ruang tamu menggabungkan elemen moden dan tradisional.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Bukan mudah memilih tema untuk menghias kediaman apatah lagi jika minat dan jiwa berlawan rasa.

Namun, mengapa harus memilih antara dua jika boleh digabungkan?

Itulah yang diterjemahkan Yuslin Zulkifli, 38, apabila dia dan suami memilih konsep dekorasi transitional untuk kediaman keluarga mereka.

Konsep itu adalah gabungan antara reka bentuk hiasan tradisional klasik dan moden kontemporari.

Menurut Yuslin, kediaman jenis teres dua tingkat di Iskandar Puteri, Johor Bahru, Johor itu didiami bersama keluarga sejak tahun 2015 dan dinamakan sebagai Syurga Andika.

Kata suri rumah itu lagi, dia mudah tertarik dengan reka bentuk moden dan tidak mahu ketinggalan dengan trend terkini.

"Namun, pada masa sama, jiwa saya masih meminati dekorasi dan perhiasan jenis klasik, tradisional serta vintaj.

"Jadi, pemilihan tema ini sangat tepat dan bersesuaian dengan keinginan saya yang mahukan kedua-duanya sekali," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut mengenai keistimewaan konsep dekorasi berkenaan, Yuslin berkata, konsep transitional sentiasa relevan dan malar segar, ia tidak lapuk dek zaman.

Justeru, dia dan suami tidak kisah berbelanja lebih sedikit asalkan mendapatkan barang-barang hiasan vintaj yang sesuai.

Kata Yuslin, konsep itu turut memberi peluang kepadanya untuk mengekspresi idea dekorasi lama dan baharu bagi dipadankan secara sama rata.

"Karakter utama konsep dekorasi itu adalah lebih kepada kombinasi dekorasi, pemilihan corak atau tekstur pada dinding, perabot serta hiasan lain.

"Selain itu, gabungan garisan lurus dan lengkung juga menjadi pilihan kerana garisan lurus memberikan kelebihan suasana kontemporari pada ruang, menjadikannya berasa moden dan canggih.

KAWASAN dapur turut mendapat sentuhan.
KAWASAN dapur turut mendapat sentuhan.

RUANG makan yang selesa.
RUANG makan yang selesa.

BILIK tidur utama dihiasi secara minimalis.
BILIK tidur utama dihiasi secara minimalis.

YUSLIN memilih transitional sebagai tema dekorasi kediamannya.
YUSLIN memilih transitional sebagai tema dekorasi kediamannya.

"Sebagai contoh, di ruang makan, saya menggunakan meja makan bersegi dipadankan dengan kerusi fabrik dan rotan dengan bentuk lengkungan untuk mencetuskan aura klasik," katanya.

Menurut Yuslin lagi, dia banyak menggayakan konsep dekorasi itu pada ruang makan serta kawasan dapur, ruang tamu dan bilik tidur utama.

Kata ibu kepada dua anak itu lagi, konsep itu sesuai dipadankan dengan rona semula jadi seperti putih, krim, beige, kelabu, coklat dan hitam.

"Untuk pemilihan perabot pula, ia lebih sesuai dipadankan bersama perabot rekaan klasik yang ringkas daripada material kayu atau rotan.

"Bersesuaian dengan karakternya yang tidak lapuk dek zaman, konsep ini sesuai untuk apa jua jenis rumah sama ada rumah bertanah atau rumah bertingkat," katanya yang turut memasang lampu neon di depan pintu masuk rumah berkenaan.

Sementara itu, Yuslin berkata, terlalu berlebihan antara kesilapan biasa yang sering dilakukan pemilik rumah ketika melakukan dekorasi berkenaan.

Kata Yuslin, untuk konsep itu, pemilihan gaya moden dan tradisional haruslah seimbang dan selari, ia tidak boleh terlebih moden atau terlebih tradisional.

Katanya, antara panduan yang boleh digunakan adalah memilih palet warna yang sama ke seluruh rumah, pastikan gabungan dekorasi lama dan baharu adalah sesuai, sekata dan tidak janggal.

"Selain itu, penting juga untuk memastikan dekorasi adalah minimalis dan tidak terlalu sarat.

"Elakkan juga beralih kepada banyak warna lain selain daripada warna neutral dan jangan menggunakan corak yang terlalu banyak.

"Apapun, jangan biarkan suatu ruang dalam keadaan kosong tanpa sebarang tarikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 7:02 AM