Che Alias Hamid
Che Alias Hamid
Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: Penyandang kerusi Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berlapang dada walaupun tidak dipilih sekali lagi sebagai calon kerusi berkenaan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK), 2 Disember ini.

Beliau juga akur dan menerima keputusan parti yang meletakkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

"Saya daripada awal lagi sebut bergantung kepada keputusan kepimpinan parti (untuk meletakkan calon), jadi tak timbul masalah.

"Saya berlapang dada (walaupun tidak dicalonkan) dan PAS Kemaman ini menyokong penuh pelantikan Dr Ahmad Samsuri sebagai calon PRK Kemaman.

"Kita harapkan pengundi di Kemaman turut memberikan sokongan seperti sebelum ini dan kita yakin pengundi juga mengenali beliau sebagai Menteri Besar," katanya.

Che Alias juga yakin Naib Presiden PAS itu mampu mengekalkan kemenangan parti itu di kerusi berkenaan dengan majoriti lebih tinggi.

"Insya-Allah sokongan boleh bertambah dan beliau sendiri mudah mesra dengan semua, termasuk anak muda, selain sering turun ke Kemaman," katanya.

Pada PRU15 yang lalu, Che Alias berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman yang dimenangi PAS pada PRU14 selepas menewaskan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan memperoleh majoriti 27,179 undi.

Che Alias memperoleh undi 65,714 undi manakala Ahmad mendapat 38,535 undi.

Bagaimanapun, kemenangan Che Alias terbatal selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 26 September lalu menerima petisyen yang difailkan calon BN, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.

Dalam petisyen itu, BN mendakwa terdapat unsur sogokan di beberapa majlis rasmi Kerajaan Negeri Terengganu melalui dana bantuan i-Belia dan i-Siswa ketika tempoh berkempen untuk meraih undi kepada Che Alias.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 6:07 PM