S Jegan (kanan) meninjau bekalan dan harga jualan ayam segar ketika Pelancaran Harga Maksimum Barangan Harga Terkawal SHMMP Deepavali di Pasaraya Econsave, Alma di sini. FOTO Danial Saad
S Jegan (kanan) meninjau bekalan dan harga jualan ayam segar ketika Pelancaran Harga Maksimum Barangan Harga Terkawal SHMMP Deepavali di Pasaraya Econsave, Alma di sini. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Penamatan subsidi dan kawalan harga ayam oleh kerajaan menyaksikan peniaga sekitar Pulau Pinang berlumba-lumba menjual komoditi itu pada harga rendah berbanding ketika harga siling yang ditetapkan sebelum ini.

Hal itu didedahkan ketika pasukan pemantau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri itu melakukan pemeriksaan di pasar awam dan pasar raya sejak 1 November lalu.

Pengarah KPDN negeri, S Jegan berkata, pihaknya sehingga kini tidak menerima sebarang aduan sepanjang tempoh harga ayam diapungkan susulan penamatan subsidi berkenaan.

"Bermula 1 November lalu, pasukan pemantau harga turun padang menjalankan pemantauan di pasar awam dan pasar raya di sekitar negeri ini yang kita belum pernah terima apa-apa aduan (berkenaan harga ayam mahal).

"Hasil pemantauan, harga ayam lebih rendah. Kebanyakan pasar raya juga berlumba-lumba merendahkan harga ayam.

"Sebelum ini, harga siling ditetapkan kerajaan adalah RM9.40 sekilogram (kg). Kini, ada yang menjual pada harga RM7.80 sekilogram, kemudian RM7.50 dan ada juga RM6.99 sekilogram. Kita harap, persaingan sihat ini dapat diteruskan sekali gus memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di Pasaraya Econsave Alma, di sini, hari ini.

SHMMP yang dilaksanakan selama tujuh hari bermula 6 November lalu menetapkan lapan jenis barangan yang perlu dijual mengikut harga kawalan.

Antaranya daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil India, bawang merah besar import dan kacang dal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 2:59 PM