Latifah Arifin

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yakin langkah kerajaan menamatkan subsidi dan harga kawalan bagi ayam sepenuhnya bermula hari ini, tidak akan menyebabkan berlaku kenaikan harga bahan mentah itu pada masa depan.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira pelbagai faktor termasuk melakukan libat urus dengan pemain industri berkenaan.

"Pastinya, sebelum keputusan (tamatkan subsidi ayam dibuat), libat urus dengan pihak industri sudah dilaksanakan. Kita minta mereka memberi jaminan untuk pastikan bukan hanya daripada segi bekalan tetapi harga juga diletakkan pada kadar yang munasabah.

"Alhamdulillah, walaupun sebelum berkuat kuasa (penamatan subsidi) bermula 1 November (hari ini), beberapa pasar raya sudah mengumumkan harga mereka yang jauh lebih rendah daripada RM9.40 sekilogram," katanya hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) berkaitan jaminan kerajaan selepas melaksanakan pengapungan harga ayam, terutama bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga ayam pada masa depan sehingga membebankan rakyat.

KPDN yakin langkah kerajaan menamatkan subsidi dan harga kawalan bagi ayam sepenuhnya bermula hari ini, tidak akan menyebabkan berlaku kenaikan harga bahan mentah itu pada masa depan. FOTO Aizuddin Saad
KPDN yakin langkah kerajaan menamatkan subsidi dan harga kawalan bagi ayam sepenuhnya bermula hari ini, tidak akan menyebabkan berlaku kenaikan harga bahan mentah itu pada masa depan. FOTO Aizuddin Saad

Mengulas lanjut, Armizan berkata, bagi memastikan tidak berlaku manipulasi harga di pasaran, mulai hari ini, KPDN menggerakkan jentera penguatkuasaannya bagi melaksanakan pemantauan di seluruh rangkaian pasar raya, peruncit dan pasar basah.

"Mulai hari ini, di peringkat KPDN, saya arahkan jentera kita melalui 2,300 penguat kuasa dan 900 pemantau harga untuk buat pemantauan di seluruh peringkat sama ada pasar raya, pasar basah dan kedai runcit untuk melihat kesan penamatan subsisi ayam ini.

"Saya bersama Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha kementerian akan bergerak untuk buat pemantauan. Kita tahu antara risikonya adalah isu kartel. Disebabkan itu kita nak kuatkuasakan Akta Persaingan bagi menyelesaikan isu berbangkit berkaitan kartel," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 5:01 PM