ARMZAN (kanan) ketika membuat tinjauan harga ayam di sebuah pasar raya di sini, hari ini. FOTO Bernama
ARMZAN (kanan) ketika membuat tinjauan harga ayam di sebuah pasar raya di sini, hari ini. FOTO Bernama
Samadi Ahmad

Putrajaya: Sebanyak 68 premis perniagaan di seluruh negara dikesan menjual ayam melebihi harga siling yang ditetapkan sebelum ini iaitu RM9.40 sekilogram (kg).

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata, berdasarkan pemeriksaan, harga ayam tertinggi dikesan dijual di Pasar Basah Manir, Terengganu iaitu RM11kg.

Beliau berkata, harga paling rendah adalah Mari-Mari Supermarket di Mersing, Johor pada kadar RM6.40kg.

"Setakat jam 1 tengah hari tadi, sebanyak 1,484 premis di seluruh negara diperiksa dan daripada jumlah itu sebanyak 6.4 peratus ayam dijual pada harga lebih tinggi berbanding sebelum ini.

"Daripada pemantauan ini, kita dapati ada jurang harga yang murah dan mahal, jadi anggota penguat kuasa akan membuat semakan dengan peniaga untuk mendapatkan maklumat dan masalah sebenar ia dijual melebihi RM9.40kg," katanya pada sidang media selepas mengadakan pemantauan harga ayam di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar dan Ketua Pengarah Penguat kuasa KPDN, Datuk Azman Adam.

Armizan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas) berkata, kementerian itu akan meneruskan pemantauan dan berdasarkan dapatan laporan yang diperoleh akan mengesan kawasan-kawasan yang menjual melebihi harga RM9.40kg.

"Tindakan boleh diambil terhadap pemilik premis mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) dan Akta Persaingan 2010 sekiranya harga ayam yang dijual tidak munasabah," katanya.

Harga siling ayam ditetapkan pada kadar RM9.40kg, namun Isnin lalu kerajaan mengumumkan penamatan sepenuhnya pemberian subsidi dan harga kawalan bagi ayam bermula 1 November.

Ia sekali gus menjadikan harga jualan sumber protein itu diapungkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 5:57 PM