FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kajang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan kenaikan harga ayam di pasaran selepas pengapungan dilaksanakan pada 1 November adalah kes terpencil.

Pemangku Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, kementerian mendapati kenaikan itu berlaku di tempat tertentu sahaja.

"Penguat kuasa KPDN akan turun bila ada aduan selain membuat pemantauan. Contohnya di Labuan, satu kes sampai kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan beliau terus hubungi minta kita selesaikan isu itu. Di satu pasar basah di Labuan harga dijual sehingga pada kadar RM12.90.

"Apabila kita tanya apakah isunya (seperti adakah) kos pengeluaran? Akhirnya peniaga berkenaan turunkan harga," katanya dalam sidang media di Pertubuhan Kebajikan Jayaa Sri, Beranang di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri KPDN Fuziah Salleh dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, dari segi pemantauan KPDN pada 1 November hingga semalam di Semenanjung Malaysia, ayam bersih standard termurah berharga RM5.79.

"Namun ada juga yang menjual tinggi RM10.50. Contohnya di Mentakab, Temerloh dan Pasar Awam Matang, Perak," katanya.

Bagi Sabah pula katanya, harga yang terendah adalah RM10, manakala tertinggi dijual RM13.90.

"Sabah unik sikit. Yang banyak dan terkenal di pasaran ini bukan ayam standard, tetapi ayam bersih super. Yang rendah adalah RM10 dan yang tertinggi dijual RM13.90.

"Kalau di Sarawak contohnya ada yang menjual harga yang lebih rendah iaitu RM9.90 dan tertinggi RM18.90. RM18.90 ini di Lawas dan Limbang disebabkan isu logistik dan bekalan," katanya.

Sementara itu, Armizan turut mengumumkan KPDN melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023 berkuat kuasa 9 hingga 15 November ini.

Katanya, selain barang di bawah harga maksimum sedia ada, kementerian mengenal pasti lapan jenis barangan yang akan dikawal di bawah skim ini.

"Lapan barangan tersebut adalah bawang merah besar import, bawang merah kecil India tidak termasuk ros, cili merah dan daging kambing biri-biri bertulang import.

"Selain itu kacang dal Australia, kelapa biji harga maksimum di peringkat borong, kelapa parut harga maksimum di peringkat runcit dan tomato," katanya.

Armizan berkata, lapan barangan itu adalah tambahan kepada barang yang sedia ada dikawal harga maksimum iaitu gula, telur, minyak masak tulen dalam botol, pelitup muka perubatan, diesel, petrol, minyak masak paket dan tepung gandum.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 4:22 PM