Mohd Roji Kawi

Kuching: Sarawak dijamin tidak menghadapi masalah bekalan ayam dan telur ayam dalam tempoh terdekat.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak, Peter J Benius Agang berkata, jaminan itu diberikan oleh penternak yang komited untuk memastikan masalah bekalan ditangani dengan baik.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya membuat pemantauan berterusan bagi memastikan bekalan tidak menghadapi sebarang masalah.

"Bekalan ayam dan telur sentiasa terkawal dan kami juga akan memastikan ia tidak akan berlaku masalah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena perayaan Deepavali di pasar raya besar Mydin Petra Jaya, hari ini.

Mengenai SHMMP, beliau berkata, 277 pegawai penguat kuasa dan pegawai pemantau harga KPDNHEP ditugaskan bagi memastikan peraturan itu dipatuhi.

Menurutnya, pemeriksaan berfokus kepada kawasan pasar awam dan pasar raya dijalankan bermula hari ini sehingga 26 Oktober ini.

"Kita akan menjalankan pemantauan SHMMP Deepavali 2022, sekali gus memastikan keberadaan bekalan barangan kawalan semasa skim ini dijalankan.

"Skim ini akan berkuat kuasa bermula 20 sehingga 26 Oktober 2022 di seluruh negeri Sarawak," katanya.

SHMMP Deepavali membabitkan lapan jenis barangan harga yang diwartakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Antaranya, daging kambing biri-biri import bertulang, tomato, cili merah, bawang merah kecil (India), bawang merah besar import, dan kacang dal (Australia) manakala kelapa biji dikategorikan dalam harga maksimum di peringkat borong sahaja, berbanding kelapa parut dalam harga maksimum di peringkat runcit sahaja.

PETER J. Berinus Agang, membuat tinjauan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2022 di pasar raya besar Mydin Petra Jaya. FOTO Nadim Bokhari
PETER J. Berinus Agang, membuat tinjauan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2022 di pasar raya besar Mydin Petra Jaya. FOTO Nadim Bokhari

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 4:06 PM