MOHAMED Khaled menyampaikan Anugerah Tokoh Akademik Negara kepada Dr Adeeba Kamrulzaman (dua dari kanan) pada majlis Anugerah Akademik Negara Ke-15, hari ini. FOTO Asyraf Hamzah
MOHAMED Khaled menyampaikan Anugerah Tokoh Akademik Negara kepada Dr Adeeba Kamrulzaman (dua dari kanan) pada majlis Anugerah Akademik Negara Ke-15, hari ini. FOTO Asyraf Hamzah
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pakar Penyakit Berjangkit Negara, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara 2023, malam.

Anugerah disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada majlis Anugerah Akademik Negara ke-15 (AAN15) yang berlangsung malam ini.

Dr Adeeba bukan sahaja seorang pakar perubatan, malah juga pelopor program pengawalan penyakit berjangkit di Malaysia.

Beliau bertanggungjawab menubuhkan Unit Penyakit Berjangkit di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 1996 serta Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dalam AIDS (CERiA) di Universiti Malaya (UM) pada 2008.

Hasil kepimpinan dan sumbangan beliau, CERiA berjaya menjadi satu daripada pusat rujukan HIV dan AIDS terkemuka di negara ini.

Di peringkat antarabangsa, beliau adalah anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan individu Malaysia pertama dilantik sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Global berkaitan Polisi Dadah.

Di samping itu, seramai lima ahli akademia lain dinobatkan sebagai penerima AAN15 termasuk Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal untuk kategori Bidang Sains yang dimenangi Prof Madya Dr Tan Jun Jie dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Bagi Anugerah Penerbitan Buku pula dimenangi Prof Dr Shamsul Bahri Abdul Razak dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), manakala Anugerah Pengajaran Kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan dimenangi Prof Madya Dr Adibah Abdul Latif dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Anugerah Pengajaran Kelompok Sains Gunaan pula dimenangi Dr Norliza Mohd Isa dari UTM, manakala Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk dimenangi oleh Dr Mariani Abdul Hamid dari universiti sama.

Penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara menerima hadiah wang tunai RM200,000, trofi dan sijil, manakala penerima kategori lain pula menerima wang tunai RM50,000, trofi dan sijil.

AAN adalah acara tahunan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang juga program kemuncak bagi Sambutan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan Tahun 2023.

Program itu adalah pengiktirafan tertinggi kepada ahli akademik sebagai menghargai kecemerlangan dan sumbangan mereka dalam melonjakkan nama Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Malah, AAN juga adalah satu daripada inisiatif kerajaan dalam usaha merangsang pembangunan kesarjanaan dan keintelektualan negara.

Majlis anugerah itu turut menyaksikan kehadiran ahli akademia dari Universiti Awam, Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik dan Kolej Komuniti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 11:02 PM