MOHAMED Khaled (tengah) bergambar bersama penerima anugerah pada majlis Anugerah Akademik Negara Ke-15. Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof
MOHAMED Khaled (tengah) bergambar bersama penerima anugerah pada majlis Anugerah Akademik Negara Ke-15. Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: "Saya terkejut apabila diumumkan sebagai pemenang kerana ada banyak penyertaan daripada ahli akademik yang sangat menyerlah kali ini," kata TS Dr Mariani Abdul Hamid.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk dalam Anugerah Akademik Negara ke-15 (AAN15) yang berlangsung di ibu negara, kelmarin.

Mariani berkata, beliau bersama empat lagi ahli pasukannya sudah menghasilkan produk kecantikan Dermags Intensive Brightening Serum yang sudah berada di pasaran sejak lapan tahun lalu.

"Alhamdullilah, saya rasa bersyukur dan terkejut pada masa sama kerana ada ramai ahli akademik yang sangat menyerlah menyertai anugerah ini.

"Namun, saya anggap penganugerahan ini adalah satu rezeki memandangkan kemenangan ini membawa impak besar kepada pasukan kami," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis AAN15 di sebuah hotel di ibu negara, kelmarin, yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurutnya, AAN adalah anugerah yang berprestij yang bukan mudah untuk dimenangi, sekali gus menjadi suntikan semangat mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

"Anugerah ini amat berprestij dan bukannya calang-calang orang boleh memilikinya. Apabila memenanginya, ia memberi suntikan semangat dan menjadi faktor pendorong untuk mengejar kejayaan.

"Justeru, saya harap anugerah ini dapat menjadi batu loncatan kepada ahli akademik yang lain untuk mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing, sekali gus terus maju ke hadapan," katanya.

Katanya, setiap pulangan diperolehi daripada produk yang dipasarkan memberi pulangan semula kepada masyarakat terutama komuniti universiti sama ada tenaga pengajar mahupun penuntut.

"Pulangan yang diberikan kepada universiti adalah dalam pelbagai bentuk termasuk digunakan oleh pensyarah lain untuk membuat kajian.

"Selain itu, ia juga digunakan untuk membantu penuntut yang tidak berkemampuan, membiayai program penuntut serta lain-lain," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dr Azlinda Azman berkata, penyertaan bagi setiap kategori dipertandingkan dalam AAN meningkat setiap tahun.

"Kita buka penyertaan kepada semua jenis Institut Pendidikan Tinggi (IPT) sama ada awam mahupun swasta yang mana sesiapa sahaja boleh bersaing.

"Ada banyak pencalonan yang kami terima yang menyaksikan peningkatan pada saban tahun dalam setiap kategori dengan kategori Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal menerima penyertaan tertinggi," katanya.

Azlinda berkata, pemenang bagi setiap kategori dipilih menerusi proses pemilihan yang ketat dan telus oleh jawatankuasa terdiri daripada pakar berkredibiliti.

"Pada tahun ini, ada juga kategori yang tiada pemenang seperti Anugerah Akademik Harapan meskipun ada calon yang dikemukakan kerana dilihat tidak ada yang mencapai standard ditetapkan.

"Apa yang kita mahukan adalah ahli akademik ini menyumbang semula kepada masyarakat selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memandangkan mereka adalah pakar dalam bidang masing-masing," katanya.

Dalam AAN15, Pakar Penyakit Berjangkit Negara, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara.

Selain Mariani, dua lagi ahli akademik dari UTM dinobatkan sebagai pemenang iaitu Prof Madya Dr Adibah Abdul Latif dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang memenangi Anugerah Pengajaran Kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan.

Sementara itu, Anugerah Pengajaran Kelompok Sains Gunaan pula dimenangi Dr Norliza Mohd Isa dari universiti sama.

Bagi Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal untuk kategori Bidang Sains dimenangi Prof Madya Dr Tan Jun Jie dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Anugerah Penerbitan Buku pula dimenangi Prof Dr Shamsul Bahri Abdul Razak dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara menerima hadiah wang tunai RM200,000, trofi dan sijil, manakala penerima kategori lain pula menerima wang tunai RM50,000, trofi dan sijil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 8:35 PM