Dr Mohd Arif (kiri) ketika menerima anugerah daripada Ismail Sabri di Majlis AAN di Putrajaya.
Dr Mohd Arif (kiri) ketika menerima anugerah daripada Ismail Sabri di Majlis AAN di Putrajaya.
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Pakar Pemecut Zarah daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjadi ahli akademik pertama universiti itu menerima Anugerah Akademik Negara (AAN) ke-14, kelmarin.

Prof Madya Ir Dr Mohd Arif Anuar Mohd Salleh menerima anugerah berkenaan dalam kategori Ahli Akademik Harapan yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Majlis AAN di Putrajaya.

Mohd Arif Anuar ketika ditemui berkata, ia pengiktirafan yang sangat bermakna buatnya serta UniMAP.

"Saya antara segelintir penyelidik Malaysia yang mempunyai kepakaran bagi perincian bahan menggunakan beberapa 'synchrotron' terkemuka luar negara seperti 'SPring-8 Synchrotron Japan', 'Australian Synchrotron' serta 'Thailand Synchrotron'.

"Salah satu kejayaan saya adalah dalam mengetuai kumpulan bagi pembangunan fasiliti ujikaji pengimejan 'In-Situ Soldering' di SPring-8 Synchrotron Japan yang mencapai penemuan proses pembentukan mikrostruktur secara in-situ dalam bahan pateri sewaktu proses pematerian bagi aplikasi penyambungan elektronik.

"AAN anjuran Kementerian Pengajian Tinggi ini merupakan satu wadah bagi mengiktiraf dan menyanjungi ahli akademik negara yang mengharumkan nama negara dalam pelbagai ilmu berdasarkan sumbangan dalam pengajaran, pemindahan dan pengembangan ilmu, penemuan ilmu, penulisan dan penerbitan ilmiah," katanya.

Pada masa sama, Naib Canselor UniMAP Prof Dr Zaliman Sauli berkata, penganugerahan itu adalah yang pertama diterima oleh ahli akademik daripada UniMAP serta yang pertama di bawah Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

MTUN terdiri daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM).

"Penganugerahan ini sekali gus membuktikan bahawa ahli akademik UniMAP antara yang terbilang serta diiktiraf negara selaras matlamat universiti bagi memacu kecemerlangan di dalam akademik, penyelidikan, penemuan ilmu serta komuniti," katanya.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 3:22 PM