Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad dan Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Prof Emeritus Tan Sri Datuk Dr Augustine Ong Soon Hock yang juga saintis negara dalam bidang kimia dan teknologi minyak sawit hari ini diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara ke-9.

Pengumuman itu dibuat pada Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) ke-9 yang berlangsung di Hotel Marriot, Putrajaya di sini, hari ini.

Menerusi penganugerahan itu, beliau yang berkhidmat di Universiti Sains Malaysia (USM) menerima hadiah wang tunai RM200,000, trofi dan sijil penghargaan.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Bagi Anugerah Pengajaran - Kelompok Sastera dan Sains Sosial, Prof Madya Fatimah Puteh dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Prof Madya Dr Raja Nor Safinas Raja Harun dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diumumkan sebagai penerima anugerah.

Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk dianugerahkan kepada Prof Dr Rahmah Noordin dari USM manakala, Anugerah Seni dan Kreativiti (Kategori Seni Visual/Seni Bina/Seni Kraf) kepada Prof Madya Dr Mohd Fauzi Sedon dari UPSI.

Bagi Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal (Bidang Sains Sosial dan Sastera), Prof Madya Dr Lean Hooi Hooi dari USM diumumkan sebagai penerima anugerah.

Seterusnya, Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal (Bidang Sains) dianugerahkan kepada Prof Dr Hany Mohd Ariffin dari Universiti Malaya (UM) manakala, Anugerah Ahli Akademik Harapan kepada Prof Madya Dr Lim Jit Kang dari USM.

Mereka menerima hadiah wang tunai RM50,000, trofi dan sijil penghargaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 9:12 PM